KUALA TERENGGANU 10 Nov – Kerajaan negeri Terengganu berjaya menarik sebanyak 50 projek pelaburan dengan nilai keseluruhan melebihi RM9.874 bilion sepanjang tempoh tahun 2022 hingga Jun 2025.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8.687 bilion merupakan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang mewujudkan lebih daripada 5,661 peluang pekerjaan baharu di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kejayaan itu dicapai melalui pelaksanaan pelbagai misi promosi dan pelaburan yang dijalankan secara bersama dengan jabatan serta agensi kerajaan.
“Antaranya ialah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta agensi-agensi berkaitan.
“Usaha tersebut memberi tumpuan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi menarik pelaburan asing berimpak tinggi serta memperkukuh hubungan strategik dengan pelabur luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) yang ingin tahu perkembangan terbaharu misi pelaburan dalam tempoh tersebut di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.
Tambahnya, melalui misi pelaburan ke Australia, Jepun dan Korea Selatan pula, kerajaan negeri telah menjalinkan rundingan bagi mendapatkan teknologi pemprosesan NR-REE yang mesra alam dan berdaya saing.
“Syarikat milik Kerajaan Negeri, EPIC Berhad, telah berjaya memperoleh kontrak, melibatkan pelbagai aktiviti hiliran dan logistik.
“Selain itu, rundingan juga sedang berlangsung dengan syarikat berpangkalan di Oman bagi pengambilalihan dua lapangan minyak yang telah dikenal pasti, dengan kerjasama strategik bersama PETRONAS,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan misi pelaburan dan promosi antarabangsa ini bagi memastikan Terengganu kekal sebagai destinasi pelaburan berdaya saing, berteknologi tinggi dan mampan menjelang tahun 2030.
“Kerajaan Negeri juga sedang memperkukuh ekosistem pelaburan melalui beberapa inisiatif utama, antaranya pembangunan infrastruktur sokongan industri di kawasan perindustrian utama seperti Teluk Kalong, Kerteh dan kawasan sekitar Kemaman bagi memastikan kemudahan utiliti, tenaga dan logistik berada pada tahap optimum.
“Mewujudkan zon pelaburan strategik baharu, termasuk kawasan berpotensi di utara dan tengah negeri bagi sektor mineral bukan logam, tenaga boleh diperbaharui serta industri pertanian pintar.
“Selain itu, promosi digital dan diplomasi ekonomi dengan memanfaatkan platform maya serta sesi hibrid bagi memperluas capaian promosi pelaburan antarabangsa,” katanya.
Kerajaan negeri juga akan membuat penyelarasan antara agensi utama, termasuk UPEN, MIDA dan GLC negeri, bagi mempercepat proses kelulusan serta mengurangkan halangan birokrasi dalam urusan pelaburan.
Beliau yang juga ADUN Kota Putera berkata, selaras dengan hasrat tersebut, pelaksanaan Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH 2030) turut dijadikan landasan utama dalam menarik pelaburan baharu yang menumpukan kepada ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa pintar serta pembangunan bandar rendah karbon.
“Melalui PITIH 2030, Kerajaan Negeri beriltizam untuk menukar potensi sumber asli Terengganu kepada peluang pelaburan hijau yang berimpak tinggi, sejajar dengan komitmen negeri terhadap Agenda Pembangunan Mampan (SDG).
“Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh hubungan antarabangsa, memperluas rangkaian pelaburan global, serta memastikan setiap inisiatif yang dijalankan memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya. - DagangNews.com








