KUALA LUMPUR 7 Okt - Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, Presiden dan CEO Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memohon maaf atas penglibatannya dalam sambutan selepas perlumbaan di Grand Prix Singapura, Ahad lepas, di mana beliau menyertai acara tradisi semburan champagne di podium Formula Satu.
Beliau mengakui tindakannya yang spontan selepas kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One “mungkin dianggap tidak sesuai”.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak meminum sebarang minuman beralkohol. Namun, sebagai seorang Muslim, saya akui bahawa saya tidak sepatutnya terlibat dalam sebarang bentuk sambutan seperti itu.
"Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas tindakan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung mana-mana pihak, dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan saya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan padu yang diberikan kepada pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One.
“Saya juga ingin menyampaikan rasa terima kasih yang tulus atas kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada Pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One ketika kami bersaing di peringkat tertinggi sukan permotoran. Kejayaan yang diraikan hari ini — dan kecemerlangan yang kami usahakan dalam era bahan api lestari — menjadi bukti kepada keupayaan Malaysia serta kekuatan inovasinya,” tambah beliau.
Sebagai wakil Petronas selaku penaja pasukan, Tengku Taufik hadir untuk menerima Trofi Constructors bagi pihak pasukan selepas kemenangan pemandu Mercedes-AMG Petronas, George Russell, dan dilihat di podium ketika disembur champagne.
Rakaman video penglibatan Tengku Taufik dalam acara semburan champagne yang tular di media sosial telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada yang mempersoalkan kesesuaian seorang eksekutif Muslim kanan menyertai ritual yang dikaitkan dengan alkohol, namun ada juga yang mempertahankan beliau dengan alasan bahawa sambutan semburan champagne merupakan tradisi lama dan diiktiraf di seluruh dunia dalam sukan Formula Satu bagi meraikan kemenangan. - DagangNews.com








