KUALA LUMPUR 3 Mac – Tealive menjalin kerjasama dengan Jaya Grocer dengan memperkenalkan rangkaian minuman pracampur 3 dalam1 yang membolehkan pengguna menikmati minuman ala kafe di rumah dengan lebih mudah.
Inisiatif ini menjadi langkah penting Tealive dalam memanfaatkan pertumbuhan segmen minuman pracampur yang semakin popular dalam kalangan pengguna di rumah.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Bryan Loo berkata langkah ini sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap minuman yang boleh dinikmati di rumah.
Menurutnya, semakin ramai pengendali makanan dan minuman kini memperkenalkan produk pracampur untuk mempelbagaikan saluran perniagaan serta mengurangkan kebergantungan kepada kunjungan pelanggan ke premis fizikal.
“Kerjasama dengan Jaya Grocer merupakan kesinambungan dari inisiatif Tealive semasa pandemik Covid-19, apabila syarikat memperkenalkan DIY Bubble Tea Kit.
“Pelancaran rangkaian minuman pracampur 3-dalam-1 kini membolehkan jenama kami lebih dekat dengan rutin harian pengguna.
“Produk ini boleh dinikmati pada bila-bila masa, sambil mengekalkan cita rasa minuman ala kafe yang sinonim dengan Tealive,” katanya dalam satu kenyataan.
Rangkaian minuman pracampur Tealive ditawarkan dalam tiga perisa utama iaitu teh susu, kopi dan coklat. Pilihan teh susu termasuk Signature Milk Tea, Gula Melaka Teh Tarik dan Milk Tea Matcha, manakala kopi merangkumi Signature Coffee, Coffee Hazelnut dan Caramel Macchiato.

Bagi peminat coklat, terdapat Signature Chocolate, Chocolate Hazelnut dan Salted Dark Chocolate. Beberapa varian turut mengekalkan rasa gula perang yang dikenali sebagai minuman pilihan istimewa Tealive.
Jaya Grocer juga memperkenalkan 3+1 Fun Packs, membolehkan pengguna membeli pelbagai minuman dalam satu pek, sesuai untuk keluarga atau pejabat.
Bagi musim perayaan, Festive Joy Box edisi terhad turut ditawarkan, lengkap dengan satu tumbler premium percuma daripada enam rekaan eksklusif.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer, Daniel Teng berkata kerjasama ini sejajar dengan komitmen rangkaian pasar raya tersebut untuk menyokong jenama tempatan sambil memperluas pilihan produk bagi pengguna.
Menurutnya, platform runcit ini membolehkan Tealive mencapai lebih ramai pelanggan sambil meningkatkan pengalaman membeli-belah pengguna.
“Langkah Tealive memasuki saluran runcit ini selari dengan strategi jangka panjang syarikat untuk memperkukuh jenama merentasi pelbagai platform jualan.
“Dengan lebih 1,000 cawangan di Malaysia dan peringkat serantau, pengembangan ke pasaran runcit membolehkan syarikat memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap minuman berkualiti yang boleh dinikmati di rumah tanpa menjejaskan cita rasa jenama,” katanya. - DagangNews.com








