TDM mula pulih pada suku pertama FY2026 dengan pertumbuhan hasil meningkat 34% kepada RM174.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TDM mula pulih pada suku pertama FY2026 dengan pertumbuhan hasil meningkat 34% kepada RM174.5 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei – TDM Berhad mencatat peningkatan hasil yang kukuh bagi suku pertama berakhir FY2026 apabila pendapatan kumpulan meningkat 34% tahun ke tahun kepada RM174.5 juta berbanding RM130.2 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya dipacu oleh prestasi lebih baik daripada segmen perladangan dan kesihatan.

 

Bagaimanapun, Kumpulan masih mencatat kerugian bersih sebanyak RM5.78 juta pada suku pertama FY2026, berbanding kerugian RM17.66 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pada masa sama, EBITDA kumpulan melonjak 16.6 kali tahun ke tahun kepada RM15.3 juta, mencerminkan peningkatan kecekapan operasi serta kekuatan asas kedua-dua segmen teras.

 

Segmen perladangan menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila hasil meningkat 70% kepada RM84.3 juta, disokong oleh lonjakan volum jualan minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK).

 

Pengeluaran buah tandan segar (FFB) meningkat 56%, sekali gus menyumbang kepada kenaikan ketara volum CPO dan PK masing-masing sebanyak 93% dan 97%.

 

Segmen perladangan masih mencatat kerugian sebelum cukai RM4.2 juta, namun lebih baik berbanding kerugian RM12.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

EBITDA segmen ini meningkat ketara kepada RM11.5 juta, dipacu oleh pemulihan pengeluaran serta peningkatan kadar perahan minyak.

 

Dalam segmen kesihatan, TDM Berhad mencatat hasil RM90.2 juta, meningkat 12% tahun ke tahun hasil daripada peningkatan jumlah pesakit dan kecekapan perkhidmatan hospital.

 

Kemasukan pesakit dalam wad meningkat 5%, manakala lawatan pesakit luar naik 7%, mencerminkan permintaan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan kesihatan kumpulan.

 

Segmen kesihatan turut mencatat peralihan kepada keuntungan apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai RM1.7 juta berbanding kerugian RM0.8 juta pada suku sama tahun lalu.

 

EBITDA segmen kesihatan meningkat 66% kepada RM6.9 juta, disokong oleh penggunaan kapasiti lebih tinggi serta penambahbaikan kos operasi.

 

Dalam segmen perladangan, tekanan margin masih wujud susulan harga komoditi yang lebih lemah serta kos operasi yang tinggi, namun peningkatan volum membantu mengimbangi kesan tersebut.

 

Bagi segmen kesihatan, pertumbuhan didorong oleh peningkatan kapasiti hospital serta jumlah penggunaan katil yang lebih tinggi, selain peningkatan kecekapan operasi.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, suku pertama FY2026 menunjukkan permulaan positif dari segi pertumbuhan hasil walaupun berdepan cabaran harga komoditi dan kos operasi.

 

Beliau berkata peningkatan EBITDA mencerminkan kekuatan operasi asas kumpulan, khususnya dalam segmen perladangan yang mencatat pemulihan pengeluaran yang ketara.

 

“Segmen kesihatan terus menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan stabil dalam jumlah pesakit serta peningkatan kapasiti perkhidmatan hospital.

 

“Melangkah ke hadapan, TDM Berhad akan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, pengurusan kos secara berhemah serta pengukuhan perniagaan teras bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kumpulan turut menjangkakan momentum pertumbuhan akan berterusan pada suku-suku akan datang, disokong oleh permintaan stabil serta sokongan dasar kerajaan walaupun berdepan tekanan kos tenaga dan cabaran geopolitik.

 

Secara keseluruhan, prestasi suku pertama FY2026 menunjukkan pemulihan operasi yang lebih kukuh walaupun keuntungan masih terjejas oleh tekanan harga komoditi dan kos operasi yang tinggi. - DagangNews.com