TCS terima kelulusan DBKL sambung semula projek J Satine selepas 6 bulan dihentikan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TCS terima kelulusan DBKL sambung semula projek J Satine selepas 6 bulan dihentikan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mei — TCS Group Holdings Berhad memperoleh kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyambung semula aktiviti pembinaan projek pembangunan bercampur J. Satine di Wangsa Maju yang dihentikan sementara hampir enam bulan.


Kumpulan pembinaan tersebut berkata, DBKL telah meluluskan penyambungan kembali kerja-kerja untuk Fasa 3 (Blok SOHO) dan Fasa 2 (Blok A dan B) projek hartanah itu yang dilaksanakan anak syarikat milik penuhnya, TCS Construction Sdn Bhd. 


Kelulusan berkenaan diberi berikutan semakan menyeluruh dan penerimaan laporan perunding bebas setelah pemberhentian kerja diarahkan oleh DBKL pada 9 November 2024 ekoran ada laporan mengenai letupan di tapak yang disebabkan isu struktur.


"Pembinaan untuk projek fasa 1 (Blok C dan D) J Satine turut akan diteruskan sebaik sahaja pengukuhan asas yang diperlukan siap sepenuhnya serta disahkan selamat oleh pihak lain," kata TCS dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Sementara itu, Pengarahnya, Datuk Tee Chai Seng berkata, kumpulan berkenaan gembira dengan keputusan DBKL, serta mengakui penemuan positif berhubung aspek keselamatan dan kestabilan yang digariskan dalam laporan bebas tersebut.


"Kelulusan ini membolehkan kami bergerak ke hadapan dengan pembinaan projek J Satine, serta komitmen kami terhadap piawaian keselamatan, kualiti dan integriti tertinggi kekal tidak berbelah bahagi semasa meneruskan kerja," katanya.


Beliau turut memberi jaminan yang TCS akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan dan mematuhi segala syarat ditetapkan pihak DBKL sendiri terhadap pembangunan hartanah bercampur tersebut.

 

DBKL pada 9 November 2024 mengarahkan kerja-kerja pembinaan di tapak pembinaan J Satine dihentikan susulan laporan berlaku letupan di tapak berkenaan disebabkan kegagalan struktur di Blok C.

 

Siasatan awal di tapak yang dijalankan kemudiannya mendapati terdapat keretakan pada struktur tiang serta lantai pada unit-unit kediaman yang berada di tingkat 8 dan ke atas.


Satu notis di bawah seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan kepada pihak perunding serta mengarahkan pemberhentikan semua kerja. - DagangNews.com