KUALA LUMPUR 10 Julai - Tawaran pengambilalihan baki saham dan waran Rex Industry Berhad oleh pemegang saham utama baharunya telah bertukar menjadi tanpa syarat selepas pegangan sahamnya melepasi ambang 50%.
Pemegang saham utamanya, ETA Industries Sdn Bhd bersama Lim Chin Hui dan pihak-pihak yang bertindak secara sepakat, secara kolektif memegang 52.22% pegangan atau 343.45 juta saham Rex, kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Chin Hui merupakan pemegang saham pengawal dan Ketua Pegawai Eksekutif ETA Industries, selain mereka turut memegang 39.18% atau 21.28 juta waran Rex Industry
Tawaran itu akan kekal dibuka untuk penerimaan sehingga 25 Julai, kata Rex Industry, yang merupakan pengeluar makanan dalam tin, minuman dan biskut.
ARTIKEL BERKAITAN: Rex Industry terima tawaran pengambilalihan mandatori bersyarat RM26.81 juta daripada ETA Industries
Tawaran mandatori itu melibatkan pengambilalihan baki 59.41% pegangan dalam Rex Industry pada harga 10 sen sesaham, dan waran kumpulan itu pada harga 0.5 sen setiap satu.
Ia dibuat selepas ETA Industries memperoleh 40.59% pegangan dalam Rex Industry pada harga RM26.81 juta, atau 10 sen sesaham, pada 13 Jun lalu daripada Darmendran Kunaretnam dan Daiman Taipan Sdn Bhd.
Turut termasuk dalam urus niaga itu ialah pengambilalihan 39.18% daripada jumlah keseluruhan waran Rex pada harga setengah sen setiap satu.
ETA Industries berkata, mereka merancang untuk mengekalkan penyenaraian Rex Industry di Bursa Malaysia. - DagangNews.com








