Tawaran ambil alih baki 35.43% saham ICT Zone Asia 'tidak adil, tidak munasabah' - MainStreet Advisers | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tawaran ambil alih baki 35.43% saham ICT Zone Asia 'tidak adil, tidak munasabah' - MainStreet Advisers

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Tawaran ICT Zone Holding Sdn Bhd dan Datuk Seri Ng Thien Phing bagi mengambil alih baki 234.7 juta saham atau 35.43% daripada jumlah saham terbitan ICT Zone Asia Bhd yang dimiliki pemegang sahan minoriti pada 20 sen sesaham disifatkan penasihat bebas sebagai 'tidak adil' dan 'tidak munasabah'. 

 

Penasihat Bebas tersebut, MainStreet Advisers Sdn Bhd berkata, harga tawaran itu mewakili 8.88% diskaun daripada nilai anggaran ICT Zone Asia berdasarkan kaedah aliran tunai diskaun (DCF).

 

Selain itu, harga tawaran ini juga lebih rendah daripada harga pasaran terakhir, 28 sen sesaham pada 28 Februari 2025.

 

MainStreet berkata, penawar berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian ICT Zone Asia di Pasaran LEAP sehingga pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd diselesaikan. 

 

"Justeru, pemegang saham tetap boleh merealisasikan pelaburan mereka dalam ICT Zone Asia di Pasaran ACE pada masa depan. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: ICT Zone Asia terima notis tawaran ambil alih sukarela tanpa syarat daripada 2 pihak

 

"Tawaran pengambilalihan itu kekal aktif sehingga 5.00 petang  hari Rabu, 2 April 2025," katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan di Bursa Malaysia hari ini.

 

Selaras dengan kaedah 8.06(1) Kriteria Penyenaraian Pasaran LEAP dan kaedah 2.1 Nota Panduan 15A Kriteria Penyenaraian Pasaran ACE, tawaran itu adalah bertujuan untuk pelaksanaan Pemindahan Penyenaraian. 

 

Prestasi kewangan cemerlang ICT Zone Asia mencerminkan pertumbuhan yang berterusan, dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat daripada RM1 juta (FY20) kepada RM7.3 juta (FY24). 

 

Selain itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) telah meningkat daripada RM19.7 juta kepada RM48.17 juta. - DagangNews.com