ICT Zone Asia terima notis tawaran ambil alih sukarela tanpa syarat daripada 2 pihak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ICT Zone Asia terima notis tawaran ambil alih sukarela tanpa syarat daripada 2 pihak

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Feb — ICT Zone Asia Berhad mengumumkan bahawa ia telah menerima notis tawaran pengambilalihan secara sukarela tanpa syarat daripada Datuk Seri Ng Thien Phing dan ICT Zone Holding Sdn Bhd semalam.

 

Menurut kenyataan kepada bursa, langkah tersebut menyaksikan perolehan semua baki saham dalam ICT Zone Asia yang tidak dimiliki oleh kedua-dua pihak berkenaan dengan tawaran tunai keluar ini adalah pada harga RM0.20 sesaham.

 

ICT Zone Asia merupakan penyedia kepada penyelesaian pembiayaan teknologi yang dimiliki oleh ICT Zone Holding dengan Thien Phing adalah pemegang sebanyak 61.5 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat induk tersebut.
 

"Secara rasmi, ICT Zone Asia telah menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia untuk memindahkan penyenaraian dari asalnya di Pasaran LEAP sejak Disember 2020 ke Pasaran ACE pada 24 Januari 2025," jelas kenyataan itu.
 

Saham ICT Zone Asia dan saham keutamaan boleh tukar yang tidak dapat ditebus (ICPS) telah diterbitkan masing-masing pada harga RM0.16 sesaham dan RM0.20 sesaham semasa tawaran terbitan awam (IPO) di Pasaran LEAP.
 

ICPS syarikat itu telah matang pada Januari 2025 dan setiap ICPS itu ditukar pula kepada saham biasa pada harga penukaran RM0.20 sesaham.
 

Para pemegang saham yang ingin menerima tawaran keluar, sama ada sepenuhnya atau sebahagian, dinasihatkan untuk mengikuti prosedur penerimaan dan kaedah penyelesaian yang akan dinyatakan dalam dokumen tawaran.
 

Ia juga dilampirkan bersama dengan borang penerimaan dan pemindahan bagi tawaran keluar. Kedua-dua dokumen tersebut akan dihantar kepada semua pemegang saham syarikat itu dalam masa yang terdekat.
 

"Penarikan penyenaraian ICT Zone Asia dari Pasaran LEAP dan penyenaraiannya di Pasaran ACE adalah langkah strategik sejajar dengan visi jangka panjang serta memberi syarikat lebih banyak keterlibatan, kecairan yang lebih baik," jelasnya.
 

Peralihan berkenaan juga menyediakan akses kepada pelabur berpotensi yang lebih luas, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di pasaran modal tempatan, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ICT Zone Asia, Tommy Lim Kok Kwang.
 

Ini ujarnya, menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan ICT Zone Asia dan membuka lembaran baharu syarikat, mencerminkan komitmen perluasan kehadiran pasaran dan memberikan nilai lebih besar kepada pemegang saham.
 

Tawaran ini menyediakan peluang kepada pemegang saham merealisasikan pelaburan mereka pada harga yang kompetitif, sejajar dengan komitmen syarikat terhadap amalan perniagaan lebih adil dan telus kepada para pemegang kepentingannya.
 

Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan bagi IPO, manakala SCS Global Advisory Sdn Bhd pula dilantik sebagai penasihat kewangan syarikat berkenaan.
 

ICT Zone Asia merupakan peneraju penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia, menawarkan rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh untuk perniagaan dalam pelbagai saiz.
 

Syarikat ini menyediakan perkhidmatan penyewaan, pajakan, dan penjualan peralatan ICT, memenuhi keperluan syarikat swasta serta agensi kerajaan. - DagangNews.com