Tasco berkemungkinan catat penurunan hasil sehingga 5% pada FY26 didorong permintaan lemah - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tasco berkemungkinan catat penurunan hasil sehingga 5% pada FY26 didorong permintaan lemah - MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mei — Hasil Tasco Berhad berkemungkinan menurun untuk dua tahun berturut-turut dengan ramalan penyusutan masing-masing sebanyak lima peratus dan satu peratus pada FY26 serta FY27, kata MIDF Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan negatif itu diunjur berlaku disebabkan kadar permintaan yang lemah untuk perkhidmatan pengangkutan pada tempoh 4QFY25 terutama untuk kontrak jangka panjang sehingga setahun.


Katanya, syarikat logistik tempatan yang ditubuhkan pada 1974 itu kemungkinan menerima kurang permintaan untuk perkhidmatannya bagi laluan antara Asia ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sepanjang suku akhir berkenaan.


"Tasco juga dilaporkan tidak dapat mendapatkan komitmen kontrak kerana syarikat penerbangan masih teragak-agak untuk memperuntukkan kapasiti disebabkan faktor ketidaktentuan isu tarif AS yang meningkat," katanya dalam nota kajian.


MIDF Research berkata, pihaknya menghadiri taklimat Tasco pada 6 Mei 2025 dan walaupun beberapa bahagian syarikat itu dijangka menyaksikan peningkatan prestasi tahun ini, tetapi ketidaktentuan berkaitan eksport adalah kekal.


Bagaimanapun kata firma penyelidikan itu, kumpulan tersebut kelihatan sebahagian besarnya terlindung memandangkan pendedahannya yang terhad kepada pasaran AS dengan kemungkinan cuma mengalami kesan minimum daripada tarif berkenaan.


Secara umum katanya, kemerosotan permintaan ke atas Tasco mencerminkan kadar pasaran lebih lemah, aktiviti trak yang dikurangkan dan pergerakan barangan adalah sedikit rendah terutama dalam bahagian rantaian bekalan sejuk.


"Pihak pengurusan memerhatikan sentimen semasa di pasaran kargo menyerupai ketidaktentuan awal 2020 ketika wabak Covid-19, dengan risiko gangguan selanjutnya bergantung kepada cara penyelesaian isu tarif AS," katanya.


Tasco katanya, namun menjangkakan hanya mengalami kesan langsung kecil daripada peralihan proses yang lebih ketat diterajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk pengeluaran Sijil Asal bagi eksport ke pasaran AS.


Walaupun mungkin menyebabkan kelewatan bagi sesetengah pengeksport yang tidak biasa dengan sistem digital sepenuhnya, kebanyakan penghantaran masih boleh diteruskan kerana kapal kontena mengambil masa tiga minggu untuk tiba di sana.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Tasco namun menyemak semula harga sasaran sesaham yang turun kepada 68 sen daripada sebelumnya iaitu 72 sen. - DagangNews.com