KUALA LUMPUR 3 April - Malaysia sedang berunding secara aktif dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk mencari penyelesaian yang mendukung semangat perdagangan bebas dan adil.
“Dalam menegakkan semangat tersebut, Malaysia tidak mempertimbangkan tarif pembalasan,” kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ia merujuk pengumuman Presiden AS, Donald Trump pada Rabu yang akan mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas semua import dan duti lebih tinggi terhadap banyak negara termasuk Malaysia.
Secara khususnya, Malaysia berada di tempat ke-11 dalam senarai tersebut, yang seterusnya mendedahkan bahawa AS bakal mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas negara ini.
Mengulas lanjut, MITI berkata, ia memandang serius tarif ini kerana memberi kesan kepada banyak negara dengan implikasi yang berpotensi penting untuk perdagangan dan pertumbuhan global.
"National Geoeconomic Command Centre (NGCC) yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini akan menilai kesan pengumuman AS serta mempertimbangkan strategi komprehensif dan pelbagai serampang untuk mengurangkan kesan tarif ini terhadap ekonomi dan industri kita," kata MITI.
NGCC yang akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri dengan MITI sebagai sekretariat, menampilkan wakil peringkat tinggi daripada beberapa kementerian dan agensi utama.
Tumpuan utama NGCC untuk memastikan ekonomi kekal berdaya saing dalam masa tidak menentu ketika ini manakala di peringkat ASEAN, mesyuarat pertama Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang ditubuhkan Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada Februari 2025, juga akan bermula tidak lama lagi.
Malaysia kata MITI, akan memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) untuk memperoleh keuntungan perdagangan timbal balik serta meneruskan Perjanjian Perlindungan Teknologi dengan AS untuk memudahkan kerjasama teknologi tinggi dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital.
Ia menambah, berdasarkan laporan Biro Analisis Ekonomi AS, Malaysia berada di kedudukan ke-15 dalam senarai AS dengan lebihan dagangan sebanyak AS$24.8 bilion (RM110.75 bilion) pada 2024.
Artikel berkaitan: Presiden Trump kenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas Malaysia
"Walaupun berlaku defisit perdagangan barangan, AS sebenarnya menikmati lebihan dalam perkhidmatan dengan Malaysia, mencerminkan hubungan ekonomi dua hala kukuh yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan bagi kedua-dua negara," jelas kenyataan MITI itu.
Justeru, ia komited untuk menjaga kepentingan ekonomi Malaysia dan pada masa sama terus mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh dengan AS.
Ia berkata, perlu diketengahkan bahawa defisit perdagangan dengan AS juga disebabkan oleh banyak firma AS telah beroperasi di Malaysia selama beberapa dekad, disebabkan ekosistem perindustrian Malaysia yang mantap, terutamanya dalam sektor elektrikal dan elektronik (E&E).
"Kami mengakui bahawa kenaikan tarif Presiden Trump menimbulkan cabaran besar kepada dinamik perdagangan global. Walaupun menghormati keputusan berdaulat itu, Malaysia amat percaya pada penglibatan membina untuk hubungan ekonomi yang saling menguntungkan," katanya.
Untuk mengurangkan kesan tarif AS, Malaysia sedang mengembangkan pasaran eksport dengan mengutamakan rantau pertumbuhan tinggi dengan memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Malaysia juga kata MITI, akan memupuk perkongsian baharu dalam ASEAN serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan Malaysia dengan mempercepatkan pelaksanaan dasar perindustrian utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Kerajaan jelasnya, sedang melibatkan diri dengan industri yang terjejas, sambil meneroka program sokongan untuk membantu perniagaan menyesuaikan diri serta kekal komited untuk membuka dialog kerjasama bagi menyelesaikan pertikaian perdagangan dan menggalakkan kemakmuran bersama.
Malaysia juga kata MITI, menghadapi cabaran itu dari kedudukan yang kuat dan bersedia kerana asas ekonomi negara kekal teguh.
Dalam masa terdekat, walaupun persekitaran luaran mungkin mencabar, pasaran dan produk pelbagai, bersama-sama dengan permintaan kukuh, akan memberikan Malaysia dengan beberapa penampan.
"Tambahan pula, permintaan dalam negeri, yang merupakan pemacu utama pertumbuhan Malaysia, masih kekal teguh. MITI percaya ekonomi Malaysia akan terus berdaya tahan di tengah-tengah cabaran ini," kata kenyataan tersebut. - DagangNews.com








