Tarif Trump boleh jejaskan ekonomi Malaysia bertahun-tahun lamanya — Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif Trump boleh jejaskan ekonomi Malaysia bertahun-tahun lamanya — Tengku Zafrul

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 April — Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan bahawa tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan meninggalkan kesan berpanjangan kepada ekonomi untuk bertahun-tahun lamanya.


Perkara tersebut disuarakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memandangkan hampir semua rakan perdagangan dan pelaburan Malaysia akan terjejas oleh rejim percukaian baharu tersebut.


Kerajaan katanya, sedang mengambil langkah untuk menangani kesan tarif termasuk menubuhkan pasukan petugas untuk mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan, menilai kesan terhadap industri dan meneruskan penglibatannya dengan Washington.


Beliau sendiri sedang mencari slot pertemuan dengan pegawai negara itu menjelang akhir bulan ini selepas dikunjungi oleh Duta Besar AS, Edgard D Kagan di pejabatnya semalam bagi mendapatkan penjelasan berhubung tarif berkenaan. 


"Kami adalah salah satu rakan dagangan terbesar AS di ASEAN, dan juga salah satu penerima utama pelaburan asing yang berpangkalan di AS. Justeru kita mesti mengakui akan ada kesan jangka pertengahan hingga panjang," katanya pada sidang akhbar.


Kesan langsung itu jelasnya, merangkumi pengurangan permintaan dan pendapatan, serta perbelanjaan pelaburan konservatif dalam jangka panjang, yang mungkin menyebabkan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.


Kerajaan juga kata Tengku Zafrul, menjangkakan berlaku kelembapan dalam pertumbuhan global dan berwaspada terhadap potensi lambakan barangan import.

 

zafrul


Bagaimanapun kadar tarif 'sederhana' yang dikenakan AS ke atas Malaysia, boleh menyaksikan beberapa eksportnya menjadi lebih kompetitif dalam pasaran global apabila pengguna memilih pengganti dengan harga murah.


Selepas memulakan 2025 dengan penuh optimistik, Malaysia kini jelas beliau, perlu mengkaji semula sasaran pertumbuhan KDNK kasarnya untuk tahun ini sekiranya tarif timbal balik AS itu mula berkuat kuasa pada 9 April 2025. 


Ringgit Malaysia merupakan salah satu mata wang yang merekodkan kerugian terbesar di Asia pada petang Isnin apabila melemah sebanyak 0.6 peratus berbanding dolar AS. 


Indeks saham FBM KLCI yang menjadi penanda aras Bursa Malaysia turut merosot sebanyak 5.7 peratus semalam, kejatuhan harian terbesar sejak permulaan wabak Covid-19.


Negara itu juga sedang berusaha untuk memimpin usaha dalam menyelaraskan tindak balas serantau terhadap tarif berkenaan. 


Negara-negara ASEAN adalah antara yang paling teruk terjejas: Vietnam dan Kemboja masing-masing dikenakan kadar 46 peratus dan 49 peratus, oleh pentadbiran Trump, manakala Malaysia tertakluk kepada levi 24 peratus.


Seperti rakan serantaunya, Malaysia telah memilih untuk tidak bertindak balas terhadap rombakan perdagangan dan sedang cuba berunding, walaupun ia menafikan dakwaan pentadbiran Trump bahawa ia mengenakan levi 47 peratus ke atas barangan AS. - DagangNews.com