Tarif Trump: Bank Negara dijangka turunkan OPR kata HLIB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif Trump: Bank Negara dijangka turunkan OPR kata HLIB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 April — Bank Negara Malaysia (BNM) kemungkinan mempertimbangkan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) sebagai langkah kitaran balas, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.


Firma tersebut berkata, tindakan penurunan OPR berkenaan dijangka dilaksanakan sekiranya tanda-tanda kelemahan pertumbuhan muncul dalam beberapa bulan yang akan datang.


Trend ekonomi global yang lebih lemah ketika ini katanya, digabungkan pula dengan persekitaran inflasi agak sederhana di Malaysia boleh memberi ruang kepada bank pusat itu untuk bertindak jika perlu.


"Kami tidak fikir BNM akan bertindak secara awalan tetapi ia mungkin bersikap tunggu dan lihat sehingga bukti lebih kukuh mengenai kelembapan pertumbuhan dikesan," kata HLIB Research dalam nota penyelidikannya hari ini.


Di samping itu, ia menyatakan bahawa kedudukan Malaysia sebagai salah satu negara yang kurang terjejas oleh kenaikan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) mungkin membantu menampan sentimen domestik.


Perkembangan tersebut jelas firma berkenaan, terutamanya jika rakan serantau mengalami kesan kelembapan yang lebih ketara dan mempunyai pendirian dasar monetari ketat.


Bagaimanapun kata HLIB Research, pemantauan berterusan terhadap sektor pekerjaan, pelaburan dan permintaan luar akan menjadi kunci untuk menentukan pendirian dasar BNM yang sesuai.


Malaysia telah dikenakan tarif sebanyak 24 peratus terhadap eksportnya ke AS, rakan kongsi eksport ketiga terbesarnya, yang menyumbang purata 7.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2011 hingga 2024.


Eksport utama Malaysia ke AS termasuklah jentera elektrik dan mekanikal, instrumen perubatan, getah, perabot, minyak, plastik, besi dan keluli, aluminium serta produk koko.


Kategori ini merangkumi sebanyak 90 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS, dengan produk elektrik dan elektronik (E&E) sahaja sudah merangkumi hampir 70 peratus.

HLIB Research menyatakan bahawa syarikat tempatan dalam menjangkakan tarif itu, telah mengimport banyak produk sejak Presiden AS, Donald Trump memegang jawatan pada 20 Januari 2025, yang terbukti daripada prestasi eksport Malaysia.


Penghantaran ke AS melonjak sebanyak 28.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Januari hingga Februari 2025, dengan ketara mengatasi pertumbuhan eksport keseluruhan sebanyak 3.3 peratus y-o-y.


Sebahagian besarnya kata firma tersebut, didorong oleh pembelian awal produk E&E, terutamanya produk peranti semikonduktor dan litar bersepadu.


"Pemuatan hadapan ini dijangka sekurang-kurangnya berterusan sehingga bulan terakhir suku pertama (Q1) 2025, menjelang tarif 24 peratus yang berkuat kuasa pada 9 April 2025, pada permulaan Q2 2025," kata HLIB Research.


Untuk membantu mengurangkan kesan tarif, ia berkata syarikat Malaysia boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan import dari AS sambil mempelbagaikan pasaran eksportnya secara serentak.


"Terdapat peluang segera dengan Malaysia sudah mengimport jumlah yang besar dari AS dan mungkin boleh meningkatkan pembelian untuk membantu merapatkan jurang perdagangan," tambahnya. - DagangNews.com