KUALA LUMPUR 1 Okt – Ancaman tarif baharu ke atas semikonduktor berpotensi mengganggu prospek pelaburan dan perdagangan jangka panjang negara, kata AmInvest.
Menyimpulkan situasi isu tarif Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ini ibarat 'keluar dari kuali masuk ke dalam api', bank pelaburan itu memberi amaran sekiranya tarif semikonduktor dilaksanakan pada kadar 100–300% seperti yang diunjur sesetengah pihak, ia boleh memberi kesan besar kepada rantaian bekalan dan eksport Malaysia.
Katanya, ancaman terbesar kepada Malaysia kini datang daripada potensi tarif baharu ke atas semikonduktor, khususnya berdasarkan bilangan cip dalam produk elektronik, satu pendekatan yang sedang dipertimbangkan oleh pentadbiran Trump.
Semikonduktor kini menyumbang lebih separuh daripada jumlah eksport Malaysia ke AS, yang mencatat 13.2% daripada keseluruhan eksport negara pada 2024, meningkat ketara daripada hanya 9.6% satu dekad lalu, dipacu oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E).
AmInvest turut memberi amaran sebarang pelaksanaan tarif baharu boleh menjejaskan pelaburan semikonduktor yang mencecah RM63 bilion.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bahawa Malaysia telah berjaya menarik pelaburan semikonduktor berjumlah RM63 bilion setakat Mac 2025, sejak pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) pada Mei 2024.
Antara pelaburan utama termasuk Carsem iaitu kemudahan pembungkusan lanjutan bagi aplikasi kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan, Infineon – kilang kuasa silikon karbida 200mm terbesar dunia dan NXP, Syntiant & Plexus – pembuatan semikonduktor dan teknologi sensor.
Turut diumumkan pelaburan semula Intel bernilai *RM50 bilion* dan pengembangan tenaga kerja
"Walaupun pelaburan ini mencerminkan keyakinan terhadap prospek semikonduktor Malaysia, pelaksanaan tarif baharu oleh AS boleh menjejaskan kelangsungan dan pelaksanaan pelaburan, yang seterusnya boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"Turut terjejas peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, imbangan dagangan dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI)," kata bank itu.
AmInvest berkata, Malaysia mencatat kejayaan awal dalam rundingan perdagangan terkininya dengan AS apabila kadar tarif eksport ke AS ditetapkan pada 19%, sejajar dengan rakan-rakan serantau ASEAN.
Perjanjian itu turut menyaksikan komitmen Malaysia untuk mengurangkan atau menghapuskan duti import bagi tambahan 4,693 barangan, serta komitmen pembelian dan pelaburan bernilai AS$240 bilion dengan AS.
Bagaimanapun, angka tersebut bersifat retrospektif dan termasuk perjanjian yang telah ditandatangani atau diumum sebelum ini, iaitu sejak awal 2025.
AmInvest menjelaskan tarif dagangan AS masih tertakluk kepada perbicaraan Mahkamah Agung AS bermula 5 November 2025, berikutan dua mahkamah rendah sebelum ini membatalkan dasar tarif pentadbiran terdahulu (RT).
Ini mendorong pentadbiran semasa untuk memberi tumpuan kepada tarif bersifat sektoral, termasuk Farmaseutikal: 100%, Kenderaan berat: 25%, perabot dan kayu masing-masing 25% dan 10%.
"Tarif sektoral ini lebih kukuh dari segi asas perundangan berbanding RT asal dan berkemungkinan besar akan dilaksanakan," katanya.
Eksport cip Malaysia didominasi firma AS, potensi dikecualikan?
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sebanyak 65% eksport semikonduktor Malaysia ke AS dihasilkan oleh firma AS yang beroperasi di Malaysia.
Ini menunjukkan eksport berkenaan adalah produk pertengahan dalam rantaian bekalan, sekali gus meningkatkan kemungkinan pengecualian daripada tarif eksport, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.
"Firma-firma ini juga menjalin kerjasama strategik dan integrasi kos dengan operasi di AS, menjadikan sebarang tarif tidak selaras dengan kepentingan ekonomi dua hala," kata bank pelaburan itu.
Bagaimanapun kebimbangan tetap ada kerana walaupun Trump membayangkan akan memberi pengecualian kepada produk yang dihasilkan bersama syarikat AS, namun butirannya masih tidak jelas.
"Sebagai contoh apakah skop tarif berkenaan, adakah berdasarkan senarai produk atau jenis firma yang akan diberikan pengecualian," kata bank itu lagi.
Malaysia kini berada dalam kedudukan kompetitif dalam kalangan negara ASEAN dari segi tarif eksport ke AS. Namun, ketidaktentuan dasar perdagangan AS khususnya berkaitan semikonduktor menimbulkan risiko besar kepada sektor utama negara.
Kerajaan dan pemain industri perlu bersedia dengan strategi mitigasi sekiranya tarif dilaksanakan agar daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan global kekal terjamin. - DagangNews.com








