Tarif AS : IDEAS gesa kerajaan lebih telus nyatakan butiran rundingan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif AS : IDEAS gesa kerajaan lebih telus nyatakan butiran rundingan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

 KUALA LUMPUR 9 Julai – Kerajaan digesa agar lebih telus dan inklusif dalam rundingan perdagangan melibatkan isu tarif 25 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat sekaligus mengukuhkan bekerjasama rapat dengan negara ASEAN yang lain.

 

Saranan itu dibuat Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) susulan kebimbangan mengenai rundingan dua hala yang dilihat tidak mencapai kemajuan positif kerana dijalankan secara tertutup, tanpa maklumat jelas kepada umum atau penglibatan pemegang taruh.

 

IDEAS berkata, situasi bertambah buruk dengan keputusan Washington untuk mengenakan tarif 25% terhadap eksport barangan dari Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

 

"Perbezaan kecil antara tarif semasa Hari Liberasi (24%) dan kadar akhir (25%) menggambarkan kelemahan rundingan dua hala yang kurang ketelusan dan pencerahan substantif," kata institusi penyelidikan itu dalam satu kenyataan.

 

 

IDEAS turut menyuarakan keraguannya terhadap rundingan itu yang masih belum membawa sebarang hasil konstruktif kerana dibincangkan secara tidak terbuka, meminggirkan pemegang taruh, serta didorong oleh agenda politik berbanding rasional ekonomi.

 

Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS, Stewart Nixon berkata, Malaysia perlu mengelak daripada mengenakan sekatan balas atau terjebak dalam dilema geopolitik kuasa besar, sebaliknya terus mempelbagaikan rakan dagang yang sehaluan dalam memperjuangkan perdagangan terbuka. 

 

"Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia perlu memimpin respons serantau yang lebih teguh terhadap dasar tarif Amerika Syarikat.

 

“Hasil rundingan dua hala yang mengecewakan bagi Malaysia dan negara lain hanya mengukuhkan keperluan tindakan kolektif untuk menentang strategi pecah dan perintah oleh Washington. 

 

“Kita tidak boleh biarkan pendekatan yang terpecah-pecah melemahkan suara ASEAN di pentas global,” tambahnya.

 

Dalam kalangan negara ASEAN, Vietnam adalah yang pertama memeterai perjanjian tarif dengan AS, namun masih dikenakan tarif 20% manakala penghantaran semula (transshipment) dari negara ketiga melalui Vietnam akan dikenakan tarif sebanyak 40%.

 

 

IDEAS turut mengesyorkan agar negara-negara ASEAN memanfaatkan sepenuhnya kerangka Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk memperdalam integrasi serantau dan menangkis pengasingan perdagangan oleh Amerika Syarikat.

 

Selain itu, Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang baru ditubuhkan juga digesa supaya bergerak melangkaui pemantauan perdagangan semata-mata dan mengambil pendekatan holistik termasuk kesiapsiagaan terhadap kejutan ekonomi, pemerkasaan rantaian bekalan, pelaburan dan perdagangan.

 

Dalam konteks domestik, IDEAS mengingatkan bahawa Malaysia perlu lebih berhati-hati memastikan agenda dasar dalam negeri sejajar dengan imej sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan mesra pasaran.

 

“Langkah seperti pengenalan kadar berbeza Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), meskipun munasabah dari segi fiskal, berpotensi merumitkan kedudukan Malaysia dalam rundingan perdagangan apabila keyakinan pelabur amat diperlukan,” tambahnya.

 

Amerika Syarikat kini merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama negara. 

 

Pada 2024, nilai dagangan dua hala melonjak hampir 30% kepada RM324.9 bilion dengan eksport ke AS berjumlah RM198.7 bilion, manakala import dari negara itu mencatat RM126.3 bilion.- DagangNews.com