Tarif air baharu Terengganu berkuat kuasa 1 Ogos 2025 - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif air baharu Terengganu berkuat kuasa 1 Ogos 2025 - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd - Gambar/SATU
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 2 Ogos – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU), anak syarikat milik penuh kerajaan negeri, mengumumkan pelaksanaan pelarasan tarif air baharu bagi negeri Terengganu yang mula berkuatkuasa 1 Ogos 2025.

 

Pelarasan tersebut diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 25 Julai lalu di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi tempoh pelaksanaan kedua dan telah diwartakan secara rasmi pada 30 Julai, baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut berkata, pelarasan itu melibatkan semua kategori pengguna termasuk domestik, bukan domestik, sektor industri, rumah ibadat, institusi kebajikan, perkapalan dan pusat data.

 

Isi Rumah B40 Kekal Terima Subsidi 

Beliau berkata, bagi kategori domestik dengan penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan, kadar baharu meningkat sebanyak 8 sen bagi setiap meter padu, menjadikan caj minimum bulanan sebanyak RM6.60. 

 

"Namun, isi rumah B40 masih menikmati subsidi penuh untuk 20 meter padu pertama setiap bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

T
Ts Abdul Karim Endut 

 

 

Sektor Perniagaan Kekal Kompetitif

Tambahnya, bagi pengguna bukan domestik seperti sektor industri dan perniagaan, pelarasan kadar mencerminkan kos sebenar operasi dan keperluan infrastruktur yang lebih besar. 

 

SATU menjelaskan 75 peratus pengguna bukan domestik hanya mengalami kenaikan purata sekitar RM1.24 sen sehari dan masih dalam lingkungan kadar kompetitif berbanding negeri lain.

 

Tarif Kekal Untuk Rumah Ibadat dan Kebajikan 

"Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap institusi keagamaan dan kebajikan, kadar sedia ada untuk rumah ibadat dan institusi kebajikan dikekalkan tanpa perubahan.

 

"Penggunaan air di masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan terus ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri melalui SATU. 

 

"Malah, subsidi tahunan untuk tujuan ini ditingkatkan daripada RM2.5 juta kepada RM3 juta," katanya.

 

Kadar Seragam Untuk Sektor Perkapalan Dan Pusat Data 

Abdul Karim berkata, bekalan air untuk kegunaan atas kapal kini dikenakan kadar rata sebanyak RM8.00/m, manakala pusat data dikenakan RM5.30/m, diselaraskan dengan kadar seragam di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Terengganu.

 

RM50 Juta Setahun Untuk Naik Taraf Infrastruktur Air

"SATU memperuntukkan sekitar RM50 juta setahun bagi membangunkan dan menaik taraf infrastruktur air negeri.

 

"Antara inisiatif utama termasuk pembinaan dan penaiktarafan loji rawatan air untuk kapasiti lebih tinggi, kerja-kerja naik taraf sistem agihan air bagi mengurangkan gangguan bekalan dan meminimakan kadar air tidak terhasil (NRW) melalui penggantian paip lama dan teknologi pemantauan kebocoran.

 

“Pelarasan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memastikan sistem bekalan air yang stabil, mampan dan berkualiti tinggi bagi rakyat Terengganu,” katanya.- DagangNews.com