Tarif 25% AS : Samenta gesa kerajaan percepatkan sokongan bantu PKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarif 25% AS : Samenta gesa kerajaan percepatkan sokongan bantu PKS

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) melahirkan kebimbangan terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas eksport dari Malaysia. 

 

Tarif baharu yang akan  berkuatkuasa mulai 1 Ogos depan adalah satu ancaman besar kepada daya saing perdagangan dan sektor perindustrian negara, terutamanya bagi Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) berorientasikan eksport yang menjadi tulang belakang ekosistem pembuatan negara.

 

Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, tarif baharu itu diibaratkan satu gempa ekonomi terutama bagi  PKS yang sangat bergantung kepada pasaran AS.

 

Beliau berkata, Samenta mengiktiraf usaha berterusan kerajaan untuk mencapai satu penyelesaian perdagangan yang seimbang dan saling menguntungkan dengan Washington, namun tindakan segera diperlukan bagi mengurangkan impak terhadap PKS yang terjejas.

 

"Samenta berharap kerajaan dapat mempercepatkan pelaksanaan langkah-langkah sokongan yang telah diumumkan sebelum ini, khususnya peningkatan  sebanyak RM1 bilion oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad.

 

"Begitu juga dengan pinjaman mudah RM500 juta melalui institusi kewangan pembangunan dan tambahan RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

 

"Inisiatif-inisiatif ini perlu disalurkan dengan pantas dan tanpa kerenah birokrasi dan  diperluas kepada perniagaan domestik yang tidak terlibat dengan eksport," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

test

Tambahnya, kesan daripada penyusutan eksport dan permintaan domestik yang lemah dijangka memberi impak yang sama teruk kepada sektor perkhidmatan. 

 

Justeru, Samenta menggesa kerajaan untuk menghentikan semua peningkatan kos yang dirancang ke atas PKS, termasuk cadangan rasionalisasi subsidi petrol dan caj tambahan oleh agensi serta pihak berkuasa tempatan.

 

"Kekurangan tenaga kerja kekal sebagai antara cabaran paling kritikal, terutamanya dalam sektor perkhidmatan. 

 

"Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk segera mengkaji semula dan melonggarkan sekatan terhadap pengambilan pekerja asing dalam sektor seperti perkhidmatan makanan, pelancongan dan logistik.

 

"Memandangkan momentum eksport bakal berdepan cabaran, sokongan terhadap PKS berasaskan perkhidmatan adalah penting bagi mengekalkan daya tahan ekonomi negara," katanya.

 

Samenta juga menegaskan, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada peringkat makro sering menyembunyikan kelemahan struktur yang ketara dalam sektor PKS.

 

Katanya, paradoks sebenar ialah keupayaan Malaysia dalam mencatat pertumbuhan ekonomi utama sedangkan kebanyakan PKS terus terperangkap dalam operasi berkeuntungan rendah dan skala kecil yang ditekan oleh kos yang meningkat, tekanan regulatori dan kini kejutan geopolitik. 

 

"Pelaksanaan tarif AS ini merupakan satu peringatan jelas tentang keperluan segera untuk menyesuaikan semula model ekonomi kita agar memberi keutamaan kepada daya tahan dan daya saing jangka panjang 1.5 juta PKS kita berlandaskan ekonomi kreatif dan perkhidmatan.


"Samenta kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi menyokong semua PKS yang terkesan secara langsung atau tidak langsung oleh tarif ini," katanya.- DagangNews.com