KUALA LUMPUR 7 Ogos - Malaysia akan mengambil beberapa langkah mitigasi termasuk berunding secara aktif dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) susulan pengumuman baharu AS untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang diimport.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, selain itu kementeriannya juga akan mempergiatkan program capaian bersama semua pengeksport utama dan industry berkaitan serta menggalakkan pemain industri untuk memperluaskan pasaran eksport ke
negara-negara alternatif.
Katanya, buat masa ini, eksport semikonduktor Malaysia ke AS masih dikecualikan daripada tarif timbal balas dan jika dilaksanakan, Malaysia berisiko kehilangan pasaran utama di AS berikutan produk negara menjadi kurang kompetitif.
"Kita mengambil inisiatif untuk mendapatkan penjelasan rasmi (berhubung pengumuman itu) dan pagi ini pun kita sudah berhubung tetapi ada perbezaan masa (dengan AS).
"Kerajaan kekal komited memantau perkembangan semasa secara rapat, berunding secara
proaktif seperti saya sebut tadi dengan pihak AS, (sebab) kita nak tahu secara terperinci apakah yang
dimaksudkan dengan semikonduktor," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung pengumuman Presiden AS, Donald Trump, semalam bahawa negara itu akan mengenakan tarif sekitar 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang diimport dari negara yang tidak menghasilkan produk itu di AS atau tidak merancang untuk berbuat demikian.
Tengku Zafrul berkata, berdasarkan data tahun 2024, jumlah eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke AS telah mencecah hampir RM120 bilion, iaitu sekitar 20 peratus daripada keseluruhan E&E negara.
"Eksport semikonduktor sahaja bernilai kira-kira RM60.6 bilion, ini mewakili sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport semikonduktor Malaysia.
"Industri ini juga penting, membabitkan 72,000 tenaga kerja mahir dan disokong kira-kira 7,200 pembekal tempatan yang terdiri daripada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Limpahan manfaat industri E&E dan semikonduktor turut menyumbang pertumbuhan sektor automotif, peralatan perubatan, tenaga boleh perbaharui, digital dan juga aeroangkasa di Malaysia," katanya.
Menurutnya, sekiranya berlaku perubahan dasar berkait pengenaan tarif semikonduktor oleh AS pada masa hadapan, ia bakal memberi kesan kepada Malaysia.
"Malaysia akan berisiko kehilangan pasaran utama di AS sekiranya produk kita menjadi kurang kompetitif akibat pengenaan tarif ini. Namun perlu ditekankan bahawa sehingga kini kerajaan AS masih belum mengumumkan secara terperinci mekanisme pelaksanaan tarif tersebut.
"Berdasarkan maklumat semasa, pengecualian bukanlah berdasarkan kepada negara tetapi mungkin diberikan kepada syarikat yang melabur secara langsung di AS tanpa mengambil kira lokasi syarikat itu di negara lain.
"Oleh itu, impaknya sangat bergantung kepada struktur pelaburan dan operasi syarikat multinasional yang berpangkalan di Malaysia," katanya. - DagangNews.com








