KUALA LUMPUR 3 Dis - Tafi Industries Bhd (TAFI) mengambil langkah strategik untuk keluar sepenuhnya daripada operasi pembuatan perabot selepas mengumumkan penjualan tanah dan kilang perabotnya di Muar kepada Bripanel Industries Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Dominant Enterprise Bhd, dengan nilai RM23.5 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tafi berkata pelupusan aset tersebut menandakan penamatan operasi pembuatan perabot yang selama ini mencatat kerugian, sekali gus membolehkan kumpulan mengalihkan tumpuan kepada perniagaan yang lebih menguntungkan.
Aset yang dijual merangkumi tanah seluas 2.074 hektar bersama kemudahan kilang dengan keluasan binaan kasar 149,753 kaki persegi. Bripanel pula dikenali sebagai pengeluar produk panel kayu berlamina.
Menurut Tafi, tanah itu pada asalnya dibeli pada harga RM9.1 juta.
"Selepas mengambil kira cukai keuntungan harta tanah (RPGT), kos transaksi serta pampasan penamatan awal perjanjian solar PV, kumpulan menjangkakan keuntungan bersih kira-kira RM9.75 juta daripada penjualan tersebut," katanya dalam kenyataan itu.
Fokus baharu: Hartanah & pembinaan sebagai pemacu utama
Tafi menjelaskan kumpulan tidak akan meninggalkan sektor perabot sepenuhnya, sebaliknya akan meneruskan penyertaan melalui kerjasama dengan pengeluar dan pembekal luar tanpa menguruskan kilang sendiri.
“Pelupusan ini akan mengukuhkan aliran tunai syarikat serta membolehkan kami menumpukan usaha kepada segmen pembangunan hartanah dan pembinaan yang menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan.
"Segmen inilah yang dijangka memacu pertumbuhan pendapatan dan meningkatkan pendapatan sesaham kumpulan,” kata syarikat itu.
Transaksi dijangka dimuktamadkan pada separuh pertama 2026.
Prestasi pasaran saham stabil
Pada penutupan dagangan Rabu, saham Tafi tidak berubah pada 52.5 sen, menjadikan nilai pasaran syarikat sebanyak RM199.2 juta.
Sementara itu, saham Dominant Enterprise meningkat setengah sen atau 0.6% kepada 80 sen, dengan modal pasaran RM132.19 juta. - DagangNews.com








