TA Securities kekal saranan 'Beli' saham Allianz walaupun industri insurans berdepan isu kritikal kos mahal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities kekal saranan 'Beli' saham Allianz walaupun industri insurans berdepan isu kritikal kos mahal

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 April — Tekanan kos perubatan yang semakin mahal sehingga menyebabkan lebih 340,000 polisi dibatalkan dalam tempoh 18 bulan lalu kini menjadi isu kritikal kepada industri insurans.


Bagaimanapun menurut TA Securities, Allianz Malaysia Berhad dilihat berada dalam kedudukan kukuh untuk terus berkembang pesat dan diramal mampu mengharungi cabaran isu tersebut dengan lebih positif.


Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham kumpulan ini dan harga sasaran (TP) RM24.35, dipacu prestasi perniagaan insurans am dan hayat yang berdaya tahan serta strategi pertumbuhan mampan.


"Kami menjangka prospek industri insurans am berkembang selari dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sekitar 4.3% hingga 4.7% sepanjang 2026," katanya dalam nota.


Bagi Allianz ujar TA Securities, ia diunjur mengatasi prestasi industri dengan kadar pertumbuhan premium kasar bertulis (GWP) sekitar 7.4%, sekali gus meningkatkan bahagian pasarannya kepada 15.5%.


Antara pemacu utama kumpulan itu termasuk pelarasan harga premium, kedudukan kukuh dalam segmen kenderaan baharu, serta pengembangan dalam insurans bukan motor seperti kebakaran dan pelancongan.


Dari segi kecekapan pula tambah firma penyelidikan tersebut, nisbah gabungan dijangka kekal stabil sekitar 88%, serta mencerminkan disiplin pengunderaitan dan kawalan kos yang semakin baik setiap tahun.


"Dalam perniagaan insurans hayat, Allianz didapati berjaya mencatat pertumbuhan premium baharu tahunan 6% sepanjang 2025, dan jauh mengatasi purata industri hanya kira-kira 0.7%," kata TA Securities.


Momentum ini dijangka berterusan disokong pelbagai saluran agensi, bancassurance dan korporat, di samping produk perubatan baharu dengan ciri pembayaran bersama serta produk yang berkaitan pelaburan.


Allianz_DagangNews


TA Securities menganggarkan nisbah kerugian bagi polisi berkaitan pelaburan yang diuruskan kumpulan itu adalah kekal sihat sekitar 84%, lebih baik berbanding purata industri sekitar 97%.


Firma itu turut menilai positif inisiatif kerajaan memperkenalkan pelan asas Insurans dan Takaful Kesihatan serta Perubatan (MHIT) bagi menangani isu kemampuan pelanggan di hospital swasta.


"Pelan ini dijangka menawarkan perlindungan tahunan RM100,000 dengan premium serendah RM80 hingga RM120 sebulan, dan akan dilancarkan secara perintis pada tempoh separuh kedua 2026," tambahnya.


Walaupun terdapat risiko sebahagian pelanggan kemungkinan besar beralih kepada pelan yang harga lebih murah, TA Securities percaya impaknya terhadap Allianz adalah terhad kerana beberapa faktor.


Antaranya kata firma tersebut, kebanyakan pelanggan sedia ada memiliki perlindungan yang lebih komprehensif dan potensi pertambahan ramai pelanggan baharu yang sebelum ini tidak dilindungi.


Allianz juga dilihat terus memperkukuh keupayaan operasi melalui penggunaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik data dan peranti pemetaan bagi meningkatkan penilaian risiko.


"Selain itu, langkah liberalisasi tarif insurans membolehkan pelarasan premium sehingga 20%, sekali gus diyakini memberi fleksibiliti tambahan dalam pengurusan risiko," jelas TA Securities.


Secara keseluruhan, firma tersebut mengekalkan unjuran pendapatan bagi tempoh FY26 hingga FY28 dan melihat Allianz berada pada landasan kukuh untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan yang mampan.


Ia berpandangan kekuatan asas perniagaan, disiplin pengunderaitan serta strategi inovasi produk akan menyokong prestasi kumpulan dalam persekitaran industri yang semakin mencabar. - DagangNews.com