TA Securities kekal 'overweight' sektor utiliti, didorong potensi kepesatan projek pusat data pada 2H26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities kekal 'overweight' sektor utiliti, didorong potensi kepesatan projek pusat data pada 2H26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 JulaiTA Securities melihat situasi semasa di Timur Tengah membuka peluang baharu kepada pemain sektor utiliti domestik menerusi pertumbuhan pesat pelbagai projek pusat data (DC).

 

Selain itu ujar firma tersebut, isu peralihan tenaga, pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE), dan perluasan grid elektrik berpotensi memacu sektor berkenaan pada separuh kedua tahun ini (2H26).

 

Justeru, ia mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor itu dengan menilai konflik luar bakal mengukuhkan lagi tahap keperluan jangka panjang bagi kepelbagaian sumber penjanaan elektrik negara.

 

"Kami menjangka isu ini mempercepatkan pembangunan Grid Tenaga ASEAN, dan berpotensi mengalih sebahagian pelaburan DC dari Timur Tengah ke Asia Tenggara termasuk Malaysia," kata TA Securities.

 

Sehubungan itu, ia mengekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai pilihan dengan harga sasaran (TP) RM18 sesaham, diikuti Samaiden Group Berhad (RM1.96), dan Malakoff Corporation Bhd (RM1.26).

 

Menurutnya, indeks utiliti Bursa Malaysia mencatat prestasi lebih baik berbanding FBM KLCI pada separuh pertama 2026 dengan meningkat 3.4% berbanding kenaikan 1.2% indeks penanda aras tersebut.

 

sektor utiliti_DagangNews2026

 

Jelas TA Securities, permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia terus mencatat rekod baharu, disokong pertumbuhan DC apabila beban puncak pernah mencecah 21,469 megawatt (MW) pada April 2026.

 

"Penggunaan tenaga oleh DC juga dijangka meningkat dalam tempoh akan datang, dan kami berpandangan pembangunan kapasiti penjanaan baharu berasaskan gas kekal menjadi tema utama sektor ini," katanya.

 

Syarikat yang mempunyai akses awal kepada turbin gas seperti Malakoff, YTL Power dan TNB berada pada kedudukan terbaik untuk memenangi tender projek bagi memenuhi permintaan tinggi hingga 2031.

 

Pada masa sama kata TA Securities, peningkatan kapasiti penjanaan berasaskan gas dijangka memacu keperluan serta membuka peluang Petronas Gas menerusi perluasan terminal dan rangkaian paip gas.

 

Di samping itu, Malaysia berpotensi meraih manfaat pengalihan pelaburan DC global untuk muncul antara hab terbesar Asia Pasifik, sekali gus memberi limpahan positif kepada TNB, dan Ranhill Utilities.

 

"Kami percaya prospek sektor utiliti kekal kukuh disokong pembangunan kapasiti penjanaan baharu, pelaksanaan projek RE berskala besar, dan perbelanjaan modal," katanya. - DagangNews.com