KUALA LUMPUR 15 Julai – Farm Fresh Bhd mempercepatkan peningkatan kapasiti pengeluaran susunya apabila ladang Muadzam Shah 2 (MZ2) di Pahang bakal menerima tambahan 3,000 ekor lembu tenusu menjelang November 2026.
Firma penyelidikan itu berkata langkah tersebut mencerminkan usaha kumpulan dalam memperluaskan kapasiti pengeluaran susu tempatan selain membina asas pertumbuhan jangka panjang melalui operasi ladang bersepadu.
Ketika ini, MZ2 menempatkan kira-kira 900 ekor lembu tenusu dan daripada jumlah itu, terdapat antara 200 hingga 250 ekor lembu yang sedang menghasilkan susu.
Sasaran import 3,000 ekor lembu itu adalah dua kali ganda berbanding jumlah awal sebanyak 1,500 ekor yang ditetapkan sebelum ini.
Kenanga berkata pengeluaran susu daripada kumpulan lembu baharu berkenaan dijangka bermula sekitar Mac 2027 selepas melalui proses penyesuaian dan persediaan operasi.
Kompleks Muadzam Shah Mampu Tampung 8,000 Lembu
“Kemudahan MZ2 direka dengan 10 kandang dengan enam daripadanya telah siap dibangunkan manakala baki empat lagi masih dalam pembinaan.
“Apabila siap sepenuhnya, ladang itu dijangka mampu menempatkan kira-kira 4,000 ekor lembu tenusu, menyamai kapasiti ladang sedia ada Muadzam Shah 1 (MZ1).
“Gabungan kedua-dua ladang berkenaan akan meningkatkan kapasiti kompleks Muadzam Shah kepada kira-kira 8,000 ekor lembu, sekali gus menjadikannya hab penternakan tenusu bersepadu terbesar Farm Fresh,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Kenanga Research berkata peningkatan kapasiti itu merupakan antara pemacu utama pertumbuhan kumpulan, walaupun sumbangan penuh terhadap pendapatan dijangka hanya dapat dilihat selepas kumpulan lembu baharu mula menyumbang kepada pengeluaran susu.

Kilang Enstek Tambah Kapasiti Produk
Selain memperluaskan operasi penternakan, Farm Fresh turut meningkatkan keupayaan pengeluaran menerusi kemudahan pembuatan baharu di Enstek, Negeri Sembilan.
Kilang itu dijangka mula beroperasi pada Ogos 2026 dengan fokus kepada pengeluaran aiskrim selain produk tenusu berasaskan botol polietilena.
Kenanga Research berkata kilang tersebut akan meningkatkan kapasiti pengeluaran aiskrim harian Farm Fresh kepada kira-kira satu juta unit, berbanding 450,000 unit ketika ini yang dihasilkan melalui kilang sedia ada di Taiping dan Sin Wah.
“Pertambahan kapasiti itu dijangka membuka ruang lebih luas untuk Farm Fresh memperkukuh jualan eksport, termasuk ke pasaran Thailand. Langkah tersebut selari dengan strategi kumpulan untuk meningkatkan sumbangan produk bernilai tambah yang menawarkan margin lebih tinggi kepada perniagaan,” katanya.
Kemboja Jadi Platform Peluasan Indochina
Dalam masa sama, Farm Fresh meneruskan rancangan pengembangan serantau menerusi kilang baharu bernilai AS$12.8 juta (RM55 juta) di Wilayah Kampong Speu, Kemboja.
Fasa pertama kilang itu akan merangkumi dua barisan pengeluaran susu dipasteur dengan kapasiti sebanyak 19.3 juta liter setahun.
Ia kemudiannya akan disusuli fasa kedua yang melibatkan dua barisan pengeluaran susu suhu ultra tinggi (UHT) dengan kapasiti gabungan 34.1 juta liter setahun yang dijangka siap pada Januari 2027.
Menurut Kenanga Research, kemudahan Kemboja itu akan membolehkan Farm Fresh beroperasi dengan lebih cekap dalam memenuhi permintaan pasaran tempatan selain menjadi asas kepada peluasan lebih besar di rantau Indochina.
Ketika ini, operasi Kemboja menyumbang kira-kira RM4 juta hingga RM5 juta sebulan kepada hasil kumpulan.

Kelestarian Dan Inovasi Sokong Operasi Jangka Panjang
Di sebalik pengembangan kapasiti, Farm Fresh turut memberi tumpuan kepada kaedah penternakan yang lebih sesuai dengan keadaan iklim Malaysia bagi memastikan produktiviti ternakan dapat dikekalkan.
Kenanga Research berkata kumpulan menggunakan sistem pengudaraan kandang terbuka dengan kipas berkapasiti tinggi yang diimport dari Australia bagi membantu mengurangkan tekanan haba terhadap lembu tenusu.
“Pendekatan itu membantu meningkatkan aliran udara dan mengekalkan pengeluaran susu antara 19 hingga 21 liter bagi setiap ekor lembu sehari. Walaupun kadar tersebut masih lebih rendah berbanding sesetengah pemain industri tempatan, pendekatan Farm Fresh memberi keutamaan kepada kesihatan ternakan dan produktiviti mampan dalam jangka panjang,” katanya.
Farm Fresh turut melaksanakan program penjagaan kesihatan pencegahan serta strategi pemakanan mengikut kategori ternakan seperti anak lembu, lembu menyusu dan lembu bunting bagi mengoptimumkan nutrisi serta mengurangkan pembaziran makanan.
Kumpulan itu juga membangunkan keupayaan pembiakan dalaman menerusi genetik lembu tenusu sendiri yang memberi tumpuan kepada ketahanan haba, rintangan penyakit dan peningkatan produktiviti.
Selain perniagaan susu, model pertanian bersepadu Farm Fresh turut merangkumi pengeluaran daging lembu melalui jenama Rompin Beef daripada lembu tenusu yang telah tamat tempoh pengeluaran susu dan dipasarkan menerusi peruncit seperti AEON serta Jaya Grocer.
Farm Fresh turut meneroka potensi pembangunan ladang tenusu komersial menerusi projek Keningau Dairy Valley di Sabah selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
Walaupun masih di peringkat awal, Kenanga berkata inisiatif itu berpotensi memperluaskan aktiviti pemprosesan hiliran tenusu serta menyokong pembangunan industri tenusu di Sabah.
Selain itu, Kenanga Research mengekalkan saranan “Market Perform” terhadap Farm Fresh dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.25.
Firma penyelidikan itu berkata Farm Fresh terus mendapat manfaat daripada kedudukan kukuh dalam pasaran susu sedia diminum, model perniagaan bersepadu “rumput ke gelas”, produk aiskrim bernilai margin lebih tinggi serta inovasi produk berterusan.
Namun, Kenanga Research memberi amaran prestasi kumpulan masih terdedah kepada turun naik harga bahan mentah, persaingan daripada pemain baharu serta perubahan kadar pertukaran asing. - DagangNews.com








