KUALA LUMPUR 15 Julai - Penyedia rumusan pembuatan pintar dari Taiwan, Priver Technology Co., Ltd. menerusi anak syarikatnya, Priver Technology (M) memulakan pembinaan kemudahan pembuatan baharunya di Senai Airport City (SAC) dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan global bagi sektor kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC).
Majlis pecah tanah projek itu diadakan pada 12 Julai lalu, sekali gus menambah lagi senarai pelaburan dalam ekosistem pembuatan elektronik canggih di SAC yang semakin mendapat perhatian pelabur asing, khususnya dalam sektor AI dan pusat data.
Kemudahan baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat bagi memenuhi permintaan global yang semakin berkembang terhadap infrastruktur digital dan AI.
Priver Technology mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam pembangunan rumusan pembuatan pintar dan kejuruteraan berketepatan tinggi.
Syarikat itu membekalkan rumusan kepada pelanggan global dalam segmen infrastruktur komputer peribadi (PC), komputer riba, pelayan, pengkomputeran awan serta sistem pelayan AI.
Selain itu, Priver Technology turut membangunkan penyelesaian rangkaian dan teknologi pengurusan haba termasuk Coolant Distribution Unit (CDU) yang semakin mendapat permintaan susulan perkembangan pesat pusat data AI yang memerlukan sistem penyejukan berkecekapan tinggi.
Majlis pecah tanah berkenaan turut dihadiri Pengasas dan Pemilik Priver Technology, Wu; Pengarah Teknologi syarikat, Jackson; Pengurus Besar Wiwynn, Dover Liu; Ketua Jualan dan Pemasaran SAC, Claudia Wong serta wakil daripada AMD dan beberapa pemain industri lain.

Pengukuhan Ekosistem Pembuatan Elektronik (SAC)
Kehadiran syarikat teknologi global itu dilihat mencerminkan pengukuhan ekosistem pembuatan elektronik dan teknologi tinggi yang sedang dibangunkan di SAC.
Terletak di Iskandar Malaysia dan dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), SAC menawarkan ekosistem perindustrian bersepadu yang disokong oleh status Zon Perindustrian Bebas (FIZ).
Ia juga mempunyai akses logistik yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, pelabuhan laut, rangkaian lebuh raya utama serta Singapura.
Sebagai pemaju induk kawasan perindustrian seluas 2,718 ekar itu, SAC kini melaksanakan pembangunan Fasa 3 bagi memenuhi permintaan pelabur dalam sektor pembuatan canggih, elektronik bernilai tinggi, infrastruktur AI serta industri berasaskan teknologi.
Pengembangan tersebut dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai destinasi utama pelaburan berteknologi tinggi, sejajar dengan pembangunan JS-SEZ yang menyasarkan kemasukan lebih banyak pelaburan dalam sektor digital, semikonduktor dan pembuatan bernilai tambah tinggi. - DagangNews.com








