KUALA LUMPUR 6 April — Ta Ann Holdings Berhad berdepan tekanan berterusan dalam segmen produk kayu susulan permintaan lemah di Jepun, dan mendorongnya memperluas pasaran ke Timur Tengah.
Menurut kenyataan syarikat tersebut sebagai mengulas Laporan Tahun Kewangan 2026 yang diterbitkan baru-baru ini, langkah berkenaan dilaksanakan bagi menyokong pertumbuhan jualan secara positif.
Penghantaran pertama produk papan lapis ke pasaran Timur Tengah awal tahun ini menandakan usaha strategik mempelbagaikan pelanggan dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.
"Pengembangan geografi dijangka meningkatkan daya tahan terhadap turun naik permintaan serantau, selain menyokong momentum jualan yang bergantung kepada keadaan ekonomi global," jelas Ta Ann.
Bagaimanapun ujarnya, kumpulan itu memberi amaran mengenai pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan daya saing eksport dan menekan margin keuntungan.
Syarikat itu selama ini mengeksport hampir keseluruhan produk papan lapisnya ke Jepun, tetapi permintaan kekal lemah berikutan keadaan pasaran dan margin negatif dalam kalangan pengimport di negara tersebut.

Data industri menunjukkan Jepun mengurangkan import papan lapis jenis tropika dari Malaysia dan Indonesia sepanjang 2025, dengan Indonesia kembali mengatasi Malaysia sebagai pembekal utama.
"Walaupun segmen kayu masih kerugian, prestasi Ta Ann menunjukkan penambahbaikan apabila kerugian sebelum cukai dikurangkan kepada RM15 juta berbanding RM26.6 juta sebelumnya," kata kumpulan itu.
Secara keseluruhan, ia mencatat keuntungan bersih sebanyak RM218.9 juta bagi tahun kewangan 2025, berbanding RM180.6 juta sebelumnya, didorong prestasi kukuh segmen perladangan kelapa sawit.
Hasil turut meningkat kepada RM1.93 bilion daripada RM1.65 bilion, dengan segmen minyak sawit didapati menyumbang sebahagian besar pendapatan dan keuntungan kumpulan perladangan tersebut.
Dalam pada itu, bekalan balak diuruskan Ta Ann masih kekal stabil disokong keadaan cuaca yang baik serta penggunaan kayu daripada hutan tanaman sendiri bagi melengkapkan sumber hutan semula jadi.
"Kami menegaskan komitmen pengurusan kos berhemah, kecekapan operasi dan amalan lestari bagi memperkukuh daya tahan serta meningkatkan keuntungan jangka panjang," katanya. - DagangNews.com








