T7 Global sahkan tiada siasatan terhadap syarikat berikutan peletakan jawatan Tan Kean Soon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global sahkan tiada siasatan terhadap syarikat berikutan peletakan jawatan Tan Kean Soon

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 April - T7 Global Berhad memaklumkan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad bahawa sepanjang pengetahuan lembaga pengarahnya, tiada sebarang siasatan terhadap syarikat tersebut.
 

Ia menjawab pertanyaan bursa itu berhubung peletakan jawatan Tan Sri Tan Kean Soon secara tiba-tiba sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif serta menyatakan ia hanya menerima surat pelepasan dan beliau tidak memaklumkan sebarang siasatan kepada syarikat.
 

Pada 31 Mac 2025, T7 Global mengumumkan Kean Soon telah meletakkan jawatan yang disandangnya selepas lebih 10 tahun, dengan alasan "sebab peribadi".
 

Syarikat tersebut juga berkata, Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, akan terus menerajui T7 Global untuk bergerak ke hadapan. 
 

Nik Norzrul merupakan pemegang saham terbesar syarikat berkenaan dengan menguasai sebanyak 16.24 peratus kepentingan.
 

Berita itu mencetuskan penjualan saham T7 Global apabila pasaran menyambung semula dagangan pada Khamis selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, yang membawa kepada penutupan terendah dalam tempoh 28 bulan, dan penggantungan jualan pendek harian bagi saham tersebut.
 

Saham T7 Global ditutup pada 32 sen, dengan kerugian 18 sen atau merosot 36 peratus, dan menilai modal syarikat berkenaan kepada RM326.7 juta. Kerugian tahun sehingga kini ialah 28 peratus.
 

Kaunter syarikat itu menyaksikan lebih 56 juta saham diniagakan sepanjang Rabu dan aktiviti penjualan besar menghapuskan RM165.6 juta permodalan pasaran T7 Global dalam satu hari.
 

Berdasarkan makluman difailkan bursa itu menunjukkan bahawa Kean Soon mempunyai kepentingan langsung dalam T7 Global sebanyak 8.22 peratus manakala kepentingan tidak langsung pula 4.81 peratus. - DagangNews.com