KUALA LUMPUR 11 Mac – T7 Global Berhad memperoleh kontrak selama dua tahun daripada EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd bagi menyediakan perkhidmatan unit kerja baik pulih telaga hidraulik (HWU) bagi kempen operasi telaga syarikat itu untuk tahun 2026 hingga 2027.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, T7 Global Berhad berkata kontrak tersebut dianugerahkan kepada anak syarikatnya, Tanjung Offshore Services Sdn. Bhd melalui surat anugerah yang diterima daripada EnQuest.
“Kontrak itu merangkumi penyediaan perkhidmatan HWU bersama pasukan pengurusan projek, kapal bekalan luar pesisir, perkhidmatan pengepaman serta peralatan dan perkhidmatan pembersihan telaga.
“Kontrak tersebut berkuat kuasa mulai 19 Februari 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama dua tahun,” katanya dalam makluman tersebut.
Kempen itu melibatkan kerja penyelenggaraan telaga minyak serta aktiviti penutupan telaga secara kekal (P&A) di beberapa pelantar minyak luar pesisir.
Pengarah Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata syarikat berbesar hati menerima kontrak tersebut yang mencerminkan keupayaan teknikal kumpulan dalam menyediakan perkhidmatan telaga minyak bersepadu.
“Gabungan keupayaan operasi unit kerja baik pulih telaga hidraulik milik syarikat bersama pelantar penggerudian TSEVEN ENYA di bawah bahagian telaga dan penamatan operasi membolehkan kumpulan melaksanakan pelbagai kerja penyelenggaraan serta pengurusan telaga minyak di luar pesisir.
“Perkhidmatan tersebut merangkumi kerja penyelenggaraan telaga, intervensi telaga serta aktiviti penutupan secara kekal yang semakin mendapat permintaan dalam industri minyak dan gas,” katanya.
Pada tahun 2025, kumpulan itu berjaya melaksanakan kerja penyelenggaraan bagi tiga telaga serta menutup 32 telaga minyak.
Beliau berkata kumpulan optimis untuk mencatatkan prestasi lebih kukuh pada tahun 2026 dan tahun-tahun seterusnya berikutan peningkatan aktiviti dalam industri minyak dan gas.
Tambahnya, prospek aktiviti penutupan telaga juga dijangka meningkat berdasarkan laporan unjuran aktiviti 2026–2028 oleh PETRONAS yang menjangkakan kira-kira 70 telaga akan melalui proses penutupan secara kekal pada tahun 2026.
“Kontrak baharu ini mengukuhkan rekod prestasi kumpulan dalam melaksanakan kempen perkhidmatan telaga yang kompleks di perairan Malaysia selain menyokong agenda penutupan telaga minyak negara secara jangka panjang,” katanya.- DagangNews.com








