T7 Global catat pertumbuhan hasil 32.9% pada 1QFY2026 dipacu perniagaan minyak dan gas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global catat pertumbuhan hasil 32.9% pada 1QFY2026 dipacu perniagaan minyak dan gas

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Mei – T7 Global Berhad mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 32.9% bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026), disokong lonjakan kukuh pertumbuhan aktiviti dalam perniagaan minyak dan gas serta perkhidmatan kejuruteraan industri.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM184.6 juta berbanding RM138.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

“Keuntungan sebelum cukai kumpulan meningkat 14.7% tahun ke tahun kepada RM11.2 juta, manakala keuntungan selepas cukai naik 0.8% kepada RM8.6 juta.

 

“Segmen perkhidmatan industri mencatat pertumbuhan hasil paling ketara apabila melonjak 142% kepada RM89.2 juta berbanding suku sama sebelumnya.

 

“Prestasi lebih kukuh itu didorong peningkatan aktiviti serta pelaksanaan projek manakala segmen tenaga kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kumpulan apabila merekodkan RM95.3 juta atau 51.6% daripada jumlah keseluruhan hasil T7 Global,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bagaimanapun, syarikat memaklumkan aktiviti berkaitan tenaga mengalami kelembapan bermusim pada suku pertama tahun ini.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata, kumpulan memulakan tahun 2026 dengan prestasi kewangan yang baik hasil sumbangan besar segmen penyelesaian industri.

 

Menurut beliau, segmen tenaga dijangka kembali pulih dan menyumbang dengan lebih kukuh kepada kumpulan dalam suku-suku akan datang.

 

Katanya, jangkaan itu disokong oleh projek-projek sedia ada dalam buku tempahan kumpulan.

 

“Kami kekal fokus terhadap pelaksanaan kontrak yang telah diperoleh secara berdisiplin dan lebih selektif dalam pembidaan projek merentasi kedua-dua segmen.

 

“Pendekatan itu penting bagi memastikan penciptaan nilai mampan jangka panjang kepada para pemegang kepentingan,” katanya.

 

T7 Global merupakan syarikat yang terlibat dalam perniagaan penyelesaian tenaga dan penyelesaian industri dengan kehadiran kukuh di beberapa negara Asia.

 

Kumpulan itu menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dalam sektor minyak dan gas, aeroangkasa serta industri am selain berkembang menerusi kerjasama strategik dan pengambilalihan syarikat tempatan serta antarabangsa. - DagangNews.com