KUALA LUMPUR 24 Mac — Cadangan pelantikan semula Toh Muda Datuk Rizal Ashram Tun Ramli sebagai Pengarah menjadi tumpuan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-62 Symphony Life Berhad akhir Mac ini.
Beliau dilaporkan belum pernah lagi menghadiri sebarang mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat tersebut sejak dilantik sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif kumpulan berkenaan pada 1 Disember 2025.
Syarikat itu memaklumkan Resolusi 6 melibatkan pelantikan semula Rizal Ashram, 49, sebagai Pengarah akan dibentang untuk kelulusan pemegang saham dalam AGM yang dijadualkan pada 31 Mac 2026.
"Anak Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Indiana, Amerika Syarikat (AS)," kata Symphony Life.
Menerusi maklumannya kepada Bursa Malaysia, ia menyatakan yang beliau pernah mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan antarabangsa di American Intercontinental University di London, Britain.
Rizal Ashram yang mesra disapa sebagai Jejai dalam kalangan rakan-rakan, pernah mengahwini aktres, Nora Danish pada 2006 sebelum berpisah pada 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal.
Symphony Life menambah, dari segi pengalaman, beliau pernah terlibat dalam industri automotif melalui penubuhan R3 Motoring Sdn Bhd serta mengendalikan perniagaan jual beli kenderaan di Kuala Lumpur.
"Beliau turut menceburi sektor minyak dan gas (O&G) menerusi Crossborder Scapes Sdn Bhd yang ada beberapa kapal sokongan luar pesisir (OSV), termasuk kontrak bersama PETRONAS Carigali," katanya.
Rizal Ashram juga aktif dalam sukan permotoran dengan pernah mewakili Malaysia di beberapa kejohanan luar negara termasuk Kejuaraan Formula 3 Jerman, Formula 3 British serta Lamborghini Super Trofeo Asia.
Selain itu, Symphony Life mengesahkan pada masa ini, beliau turut menganggotai Lembaga Pengarah XOX Berhad dan HeiTech Padu Berhad, serta tiada sebarang konflik kepentingan dengan kumpulan tersebut
Di samping itu, AGM tersebut turut akan membentangkan beberapa resolusi lain termasuk kelulusan yuran dan manfaat pengarah, pelantikan semula juruaudit serta kebenaran bagi penerbitan saham baharu.
"Perubahan tarikh rekod pendeposit bagi AGM tersebut yang akan diadakan di Petaling Jaya, Selangor, ditetapkan daripada 20 Mac kepada 24 Mac 2026," katanya. - DagangNews.com








