KUALA LUMPUR 17 Okt - Sekurang-kurangnya dua syarikat dipercayai akan bersaing untuk mendapatkan kontrak membekal 36 laras meriam kaliber 105mm kepada Tentera Darat Malaysia.
Semua sistem persenjataan ini bagi kegunaan Rejimen Artileri Diraja (RAD) untuk menggantikan meriam-meriam lama.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Bahagian Perolehan telah mengeluarkan tawaran tender bernilai RM697 juta bagi membekal, menguji dan menghantar 36 laras meriam jenis itu.
Peruntukan bagi perolehan ini sebenarnya telah diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Januari lepas iaitu sebahagian daripada RM12 bilion yang disediakan MINDEF untuk 2025.

Ini merupakan pembelian tambahan bagi meneruskan program menggantikan sistem artileri sedia ada iaitu Oto Melara L5 Pack Howitzer 105mm yang telah digunakan sejak 50 tahun lalu.
Berdasarkan spesifikasi, MINDEF menetapkan meriam ringan (light gun), bermakna sistem artileri ini adalah jenis mudah alih dan boleh ditunda menggunakan kenderaan termasuk diangkut dengan helikopter.
Syarikat yang dijangka bersaing adalah Advanced Defence Systems Sdn. Bhd. (ADSSB) yang sebelum ini berjaya membekalkan 18 laras meriam LG1 Mark III Nexter 105mm (Nexter LG1 105mm) buatan Perancis.
Pesaing terdekat pula adalah meriam Boran 105mm keluaran industri pertahanan Turkiye, Makine ve Kimya Endüstrisi A.Ş (MKE) yang dioperasikan oleh angkatan tentera negara itu dan beberapa negara lain.

Walaupun bukan maklumat rasmi, tetapi ia berdasarkan tinjauan industri serta usaha-usaha yang telah dilakukan pihak-pihak terlibat.
Jumlah 36 laras meriam ini cukup untuk dibekalkan kepada 2 buah rejimen artileri medan.
ATM pada 2018 memilih Nexter LG1 105mm yang mana 18 laras meriam kini diguna Rejimen Pertama Artileri Diraja (1 RAD Para) dengan jumlah keseluruhan akan ditambah secara berperingkat-peringkat untuk 8 buah rejimen.
Syarikat tempatan, ADSSB yang memperoleh kontrak pembekalan Nexter LG1 105mm telah melakukan sepenuhnya kerja-kerja pemasangan sistem artileri tersebut di kilangnya di Gemas, Negeri Sembilan.


Sekiranya faktor logistik dan penyelenggaraan diambil kira, menggunakan meriam jenis sama memberi kelebihan termasuk pada skala industri sokongan yang dibangunkan.
Cuma konsep perolehan terbuka yang diamalkan oleh kerajaan membenarkan mana-mana syarikat tempatan atau luar negara untuk bersaing menawarkan kelengkapan masing-masing walaupun jenis sama yang telah digunakan.
Pihak MKE sejak tiga tahun lalu dilihat giat melakukan usaha tersebut, malah meriam Boran 105mm telah pun menjalani ujian tembakan serta pengendalian di Malaysia.
Pilihan akhir kontraktor yang layak bagaimana pun bergantung kepada penilaian teknikal, kewangan dan syarat‑syarat lain yang ditetapkan dalam dokumen tender.

MINDEF masih belum mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai jadual penghantaran, sokongan logistik atau integrasi sistem baharu ini ke dalam struktur operasi RAD.
Sebarang perkembangan seterusnya dijangka diumumkan selepas proses penilaian tender selesai. - DagangNews.com








