KUALA LUMPUR 10 Mac – GTA Holdings Bhd, sebuah syarikat penyelenggaraan dan pembaikan pesawat merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi membiayai rancangan pengembangannya.
Dana yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) itu akan digunakan untuk membina pusat operasi baharu, memperluas perkhidmatan untuk helikopter di Timur Tengah, serta menambah kepakaran dalam komponen pesawat seperti gear pendaratan, roda dan brek.
Kos keseluruhan untuk membina pusat operasi baharu ini dianggarkan sebanyak RM37.5 juta, termasuk pembelian hartanah dan kerja ubah suai. Syarikat telah menandatangani perjanjian jual beli premis tersebut pada September 2025.
Ketika ini, GTA Holdings beroperasi di Pusat Helikopter, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang namun perlu perlu berpindah sebelum akhir 2026 kerana kawasan itu akan terlibat dalam projek pembangunan semula.
Syarikat ini menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian pesawat, terutamanya untuk enjin helikopter dan pesawat serta menjual peralatan dan komponen pesawat.
Prestasi kewangan syarikat menunjukkan peningkatan memberangsangkan di mana keuntungan selepas cukai meningkat daripada RM13.7 juta pada 2022 kepada RM36.61 juta pada 2024.
GTA Holdings menyediakan perkhidmatan kepada organisasi pertahanan Malaysia dan syarikat penerbangan awam, menjadikan mereka antara pemain utama dalam sektor penyelenggaraan pesawat di negara ini.
Penyenaraian awam ini akan melibatkan penjualan 15.87 peratus saham baharu kepada orang ramai, manakala 9.6 peratus saham sedia ada akan dijual oleh pengurusan dan pelabur sedia ada.
Pengurusan syarikat yang terlibat termasuk Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi, pengarah eksekutif, serta beberapa pelabur swasta dan syarikat milik keluarga.
Hong Leong Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan agen penempatan untuk penyenaraian ini.
Syarikat berharap langkah ini dapat membantu memperkukuh kedudukan mereka dalam industri penyelenggaraan pesawat dan meningkatkan pertumbuhan masa depan.- DagangNews.com








