Syarikat pengeluar antena & peranti komunikasi, Emits Bhd rancang IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat pengeluar antena & peranti komunikasi, Emits Bhd rancang IPO di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mac – Syarikat pengeluar antena dan peranti komunikasi, Emits Bhd merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE bagi mendapatkan dana untuk modal kerja dan pembelian peralatan baharu sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan syarikat.

 

Berdasarkan draf prospektusnya, Emits memerlukan peruntukan tambahan untuk pembelian bahan dan pengambilan pekerja kontrak bagi projek penghasilan antena stesen asas 5G yang dijangka dimeterai selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

 

“Kami menjangkakan keperluan modal kerja akan meningkat selaras dengan pertumbuhan perniagaan kami,” kata Emits.

 

Syarikat itu beroperasi di Pulau Pinang, di mana kilang utamanya menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia, Amerika Syarikat dan Jerman. 

 

Emits juga mempunyai satu talian pemasangan di Taiwan melalui pengeluar kontrak pihak ketiga untuk perkhidmatan pemasangan antena radio mudah alih separa siap.

 

Syarikat ini menumpukan pada perkhidmatan pembuatan antena, komponen utama bagi peranti telekomunikasi seperti walkie-talkie dan penghala WiFi, serta peranti industri termasuk antena stesen asas 5G dan pengimbas kod bar.

 

Pada tahun lepas, Emits mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.2 juta dengan pendapatan RM39.65 juta.

 

IPO yang dicadangkan melibatkan penerbitan saham baharu dan tawaran untuk menjual saham sedia ada. 

 

Sehingga 28% pegangan Emits akan ditawarkan pada harga yang akan ditentukan kemudian.

 

Hasil daripada penjualan saham akan diterima oleh Datuk Seri Goh Eng Hoe, seorang pemegang saham utama tanpa jawatan dalam lembaga pengarah atau pengurusan, Pengarah Urusan Low Boon Liang, Pengarah Eksekutif H’ng Chuen Yeou dan Ketua Pegawai Teknikal Por Chee Seong.

 

Mercury Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO tersebut. - DagangNews.com