Syarikat minyak dan gas Jepun, Inpex giat teroka peluang penggabungan & pengambilalihan di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat minyak dan gas Jepun, Inpex giat teroka peluang penggabungan & pengambilalihan di Sarawak

KUALA LUMPUR 10 April — Syarikat minyak dan gas terbesar dari Jepun, Inpex menegaskan bahawa ia kekal komited terhadap pelaburan di Abu Dhabi walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik di rantau Timur Tengah.

 

Namun, pada masa sama, syarikat itu turut mengesahkan sedang giat meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam sektor minyak dan gas di Sarawak, Malaysia.

 

Inpex berkata komitmen syarikat terhadap operasi di Abu Dhabi tidak berubah walaupun terdapat ketidakstabilan semasa di rantau berkenaan.

 

Menurut syarikat itu, sebarang keputusan pelaburan tetap akan mengambil kira keadaan geopolitik global, namun fokus utama operasi di Timur Tengah kekal berterusan.

 

“Di Malaysia pula, aktiviti penerokaan dijalankan secara aktif, selain mengenal pasti peluang M&A khususnya di kawasan luar pesisir Sarawak.

 

“Ini sejajar dengan Pelan Perniagaan Jangka Sederhana 2025 hingga 2027 yang meletakkan Malaysia sebagai antara pasaran penting dalam strategi pertumbuhan syarikat,” katanya, lapor The Edge.

 

Syarikat itu turut menyatakan bahawa Asia Tenggara, termasuk Malaysia, merupakan salah satu daripada lima bidang perniagaan teras bagi pengembangan masa depan.

 

Inpex juga menjelaskan bahawa laporan media sebelum ini yang menyatakan kemungkinan pengalihan dana dari Timur Tengah ke Asia Tenggara adalah tidak tepat.

 

Dalam masa yang sama, syarikat itu memperuntukkan sebahagian besar bajet pelaburan pertumbuhan tahun fiskal 2026 untuk operasi di Abu Dhabi, dengan sebahagian perbelanjaan lain melibatkan projek besar di Indonesia.

 

Antara projek utama tersebut ialah pembangunan gas asli Abadi LNG bernilai kira-kira AS$20 bilion yang sedang dibangunkan bersama Pertamina dan PETRONAS.

 

Setakat ini, Inpex turut terlibat dalam beberapa blok minyak dan gas di Malaysia termasuk di kawasan luar pesisir Sarawak yang masih dalam fasa penerokaan dan pengeluaran- DagangNews.com