Syarikat AS kekal komited melabur di Malaysia, kata Majlis Perniagaan AS-ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat AS kekal komited melabur di Malaysia, kata Majlis Perniagaan AS-ASEAN

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Sektor swasta Amerika Syarikat (AS) terus menunjukkan komitmen kukuh untuk melabur di Malaysia dan rantau ASEAN meskipun berdepan ketegangan perdagangan serta ketidaktentuan dasar tarif global.

 

Ketua Wakil Negara di Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Tina Jamaluddin berkata, Malaysia telah menerima pelaburan yang diluluskan hampir RM9.9 bilion daripada AS dan komitmen sektor swasta terhadap Malaysia dan ASEAN kekal tidak berubah.

 

“Dari segi tarif tiada satu pun syarikat ahli kami menyatakan hasrat untuk keluar dari Malaysia atau ASEAN. Mereka masih sangat komited untuk terus bersama kami,” katanya.

 

Tina turut menekankan kepentingan semua negara dalam memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital yang disasarkan selesai menjelang akhir tahun ini.

 

“Terdapat 10 negara dalam ASEAN masing-masing berada pada tahap pembangunan yang berbeza. Agak mencabar untuk semua sependapat namun itu tidak seharusnya menghalang kemajuan perbincangan.

 

“Yang penting adalah menetapkan piawaian minimum dan melibatkan semua pihak termasuk negara seperti Laos Myanmar dan Kemboja dalam proses tersebut,” katanya.

 

Sementara itu Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi, sebuah badan pemikir bebas pula optimis Malaysia akan kekal sebagai kepentingan strategik kepada Amerika Syarikat.

 

Pengarah Urusanya, Rashaad Ali berkata, Malaysia berjaya memposisikan dirinya sebagai kuasa pertengahan di rantau ini dengan mengimbangi pengaruh dari AS dan China selama beberapa dekad.

 

"Kerajaan Malaysia konsisten menunjukkan keupayaan yang stabil dalam mengurus perubahan geopolitik termasuk dasar AS yang berubah-ubah. Dalam era pendigitalan dan peralihan tenaga yang pesat, kerjasama serantau bukan lagi pilihan tetapi keperluan.

 

“Pembangunan pusat data dan infrastruktur digital memerlukan grid tenaga serantau yang dikongsi. Ia bukan sesuatu yang mudah, namun hanya melalui kerjasama kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya. - DagangNews.com