Syarikat berkaitan GLC mungkin terkesan dengan syarat baharu ekuiti bumiputera dalam pelupusan tanah - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat berkaitan GLC mungkin terkesan dengan syarat baharu ekuiti bumiputera dalam pelupusan tanah - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Mac - Beberapa syarikat yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan aktif dalam pelupusan tanah mungkin terkesan dengan syarat baharu kerajaan yang mewajibkan bakal pembeli memenuhi ambang penyertaan ekuiti bumiputera.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, memandangkan pengumuman dibuat secara agak mengejut, terdapat potensi kesan dalam tempoh terdekat terhadap syarikat terlibat.

 

Sebagai contoh katanya, S P Setia Bhd sebelum ini mencadangkan penjualan 275 ekar tanah di Semenyih pada harga RM274 juta kepada Mah Sing Group Bhd pada awal November 2025, dengan urus niaga tersebut masih menunggu kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

 

Nilai pelupusan itu dianggarkan bersamaan kira-kira 7% daripada unjuran keuntungan sebelum cukai tahun kewangan 2026.

 

“Dalam pada itu, kami difahamkan UEM Sunrise Bhd juga sedang berbincang dengan pelabur berhubung bank tanahnya di Gerbang Nusajaya,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Firma itu menjelaskan Kementerian Kewangan telah memperkenalkan Garis Panduan Pelupusan Hartanah yang disemak semula untuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta GLC.

 

Di bawah garis panduan baharu itu, pelupusan hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas memerlukan bakal pembeli memenuhi ambang penyertaan ekuiti bumiputera sebanyak 50%, meningkat daripada 30% sebelum ini.

 

Langkah tersebut bertujuan menyelaraskan pelupusan aset dengan objektif sosioekonomi nasional serta agenda pemerkasaan bumiputera.

 

Walaupun hartanah industri turut termasuk dalam garis panduan yang disemak semula, transaksi boleh dikecualikan sekiranya pembeli memperoleh lesen pembuatan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk membangunkan tanah berkenaan.

 

Menurut Maybank IB, walaupun garis panduan baharu berkuat kuasa pada 18 November 2025, berdasarkan laporan akhbar implikasinya mungkin belum diambil kira sepenuhnya oleh pasaran sebelum ini.

 

Sentimen hartanah dijangka tertekan?

Maybank IB berpandangan kriteria lebih ketat bagi pelupusan aset GLC dan GLIC mungkin mengecilkan kumpulan pembeli yang layak secara sederhana, namun pada masa sama boleh menggalakkan kerjasama pembangunan lebih berstruktur seperti usaha sama Eco Business Park 8 (EBP8) di Kulai, Johor.

 

Tambahnya, kebimbangan bahawa persaingan lebih rendah akan menekan nilai pelupusan tidak semestinya tepat.

 

Ini boleh dilihat dalam jualan tanah EBP8 pada harga RM20 sekaki persegi merupakan rekod tertinggi bagi kawasan tersebut.

 

"Peraturan baharu itu mungkin boleh memperlahankan sebahagian pelupusan dan menambah kerumitan dalam proses pengkomersialan serta kitar semula modal dalam jangka pendek.

 

“Namun kami percaya kejelasan dasar dan perancangan awal mampu mengurangkan risiko pelaksanaan," kata firma itu lagi.

 

Maybank IB menambah, secara keseluruhan, dasar ini menyokong keterangkuman dan penyertaan ekuiti jangka panjang, walaupun terdapat sedikit kesulitan jangka pendek dalam pelaburan semula aset.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap sektor hartanah.

 

Antara risiko kepada unjurannya termasuk jualan hartanah lebih lemah daripada jangkaan berikutan prospek ekonomi yang perlahan, faktor dasar, langkah pemberian pinjaman lebih ketat oleh bank serta pampasan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) yang lebih tinggi susulan keputusan terbaharu Mahkamah Persekutuan.

 

Selain itu, peningkatan kos operasi akibat cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kenaikan kos bahan binaan dan pengangkutan serta isu buruh turut dikenal pasti sebagai risiko kepada penarafan semasa sektor berkenaan. - DagangNews.com