KUALA LUMPUR 18 Mac – Swift Cold Chain Sdn Bhd, anak syarikat 51 peratus milik Swift Haulage Berhad, memulakan langkah strategik dalam memperluas rangkaian logistik sejuknya di Malaysia dengan pembinaan gudang automatik baharu di Tebrau, Johor.
Ia adalah lokasi kedua selepas gudang utama syarikat yang beroperasi di Pusat Logistik Antarabangsa Shah Alam.
Gudang baharu di Tebrau itu akan mengukuhkan lagi infrastruktur logistik negara serta memperluas rangkaian bekalan makanan rentas sempadan, khususnya di sepanjang koridor Malaysia-Singapura.
Lokasi ini dipilih kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas yang memudahkan penghantaran ke selatan Malaysia dan Singapura.
Dengan pelaburan dianggarkan sebanyak RM65 juta, gudang Tebrau itu dibangunkan di tapak seluas 75,000 kaki persegi dan dijangka siap pada akhir suku pertama 2027.
Kumpulan itu berkata setelah siap, gudang ini akan menyediakan kapasiti penyimpanan sebanyak 12,000 palet, termasuk 9,000 palet menggunakan sistem penyimpanan dan pengambilan automatik (ASRS) dan 3,000 palet menggunakan sistem rak konvensional.
“Projek ini juga dijangka mewujudkan kira-kira 40 peluang pekerjaan baharu, sekaligus memperkukuh kemampuan tempatan dalam operasi rangkaian sejuk berteknologi tinggi.
“Gudang Tebrau akan mematuhi standard halal dan keselamatan makanan, bagi memastikan pematuhan kepada piawaian industri dan sokongan kepada rantaian bekalan makanan dan pengguna yang terkawal.
“Selain daripada kapasiti penyimpanan, Swift Cold Chain akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan bersuhu terkawal secara bersepadu di lokasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkhidmatan ini termasuk trak sejuk khusus dan logistik rentas sempadan ke Singapura, membolehkan pengurusan rangkaian sejuk berkekalan dari simpanan hingga penghantaran akhir.
Penggunaan teknologi seperti ASRS membolehkan penyimpanan berkapasiti tinggi, pengambilan barangan yang lebih tepat, dan pengurangan kerja manual.
Sistem ini menyokong operasi 24 jam, meningkatkan ketepatan inventori dan keselamatan pekerja, serta mempertingkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan.
Teknologi tambahan termasuk sistem pengurusan gudang digital (WMS) yang menyediakan pemantauan suhu secara berterusan dengan amaran, penjejakan kod bar untuk ketelusan produk, dan pengurusan dermaga pintar bagi memperkemas aliran kenderaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Swift Cold Chain, Tan Nee Phing berkata pembukaan gudang Tebrau adalah langkah penting dalam usaha syarikat membina rangkaian sejuk bersepadu di seluruh negara.
Menurut beliau, syarikat menekankan kepentingan teknologi canggih, keselamatan, dan kepatuhan kepada standard halal dan keselamatan makanan.
“Peluasan operasi gudang ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan penyimpanan dan pengendalian produk berisiko tetapi juga mempercepatkan penghantaran, mengurangkan risiko rantaian bekalan, dan meningkatkan kebolehpercayaan serta kualiti produk,” katanya.
Swift Cold Chain sebelum ini telah menandatangani perkongsian strategik dengan SCGJWD Logistics PCL dari Thailand untuk membangunkan rangkaian cold chain di Malaysia, Thailand, dan Singapura.
Dengan dua nod utama kini sedang dibangunkan, syarikat bersedia menghadapi permintaan yang semakin meningkat daripada sektor makanan, kesihatan, perkilangan berteknologi tinggi, serta runcit dan pasar raya. - DagangNews.com








