KUALA LUMPUR 8 April — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melantik Datuk Manoj Kurup yang berpengalaman luas dalam undang-undang sebagai Pengarah Eksekutif Penguatkuasaan yang baharu.
Menurut kenyataan badan berkanun yang ditubuhkan sejak 1993 itu, pelantikan tersebut berkuat kuasa hari ini dalam usaha SC untuk terus memperkukuhkan fungsi penguatkuasaan pasaran modal negara.
Tambahnya, beliau menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Budiman Lutfi Mohamed setelah penyandang itu dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya pada 1 April 2026.
"Manoj mempunyai pengalaman selama lebih tiga dekad dalam bidang perundangan yang merangkumi aspek kehakiman dan pendakwaan awam sejak beliau memulakan kerjaya pada 1990," kata suruhanjaya itu.
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) sebelum bersara pada 2024, selain pernah mengetuai Bahagian Rayuan di agensi berkenaan.
Selain itu kata SC, Manoj pernah terlibat sebagai anggota pasukan pendakwaan Malaysia dalam siasatan bersama tragedi MH17, serta turut menjadi anggota lembaga di Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang Pendakwaan dari Universiti Wollongong, Australia dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Polytechnic of Wales (kini dikenali sebagai University of Glamorgan).
Sementara itu Pengerusi SC, Mohammad Faiz Azmi dalam kenyataan tersebut berkata, pelantikan Manoj diyakini dapat memperkukuh usaha penguatkuasaan dalam memastikan integriti pasaran terpelihara.
“Pengalaman luas beliau akan membantu mempertingkatkan keupayaan SC dalam melaksanakan peranan penguatkuasaan dengan lebih berkesan, di samping aspek perlindungan kepada pelabur,” katanya.
Pada masa sama ujarnya, SC turut merakamkan penghargaan kepada Budiman atas sumbangan perkhidmatan beliau sejak menyertai agensi berkenaan pada Julai 2022. - DagangNews.com








