KUALA LUMPUR 8 Julai – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Durham, United Kingdom bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang kewangan Islam dan pasaran modal Islam menerusi program latihan, perkongsian ilmu serta pembangunan profesional.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, kerjasama itu bertujuan melahirkan pemimpin berwawasan dalam sektor kewangan Islam serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang ini.
"Dengan menerapkan prinsip Maqasid al-Shariah, kita dapat membina pasaran modal yang beretika, mampan dan inovatif, katanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara inisiatif utama di bawah MoU tersebut ialah Kursus Musim Panas Pasaran Modal Islam (ICM Summer School), yang memberi penekanan kepada aplikasi prinsip Maqasid al-Shariah dalam pembangunan ekosistem pasaran modal Islam.
Program itu dianjurkan bersama Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam Durham yang direka khas untuk profesional dan pemimpin peringkat pertengahan hingga kanan dengan sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman dalam industri kewangan Islam.
Ia akan dilaksanakan secara hibrid selama sebulan termasuk kelas induk selama lima hari di kampus Universiti Durham.
Kohort pertama akan bermula pada suku ketiga 2025, dengan satu kohort setiap tahun sehingga 2027.
Peserta yang menamatkan program ini akan menerima sijil pengiktirafan bersama daripada SC dan Universiti Durham.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Durham, Profesor Karen O'Brien pula berkata, universiti itu mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam penyelidikan dan pendidikan kewangan Islam, termasuk melatih lebih 1,500 peserta dari seluruh dunia melalui program Summer School sejak 2006.
Program itu merangkumi topik seperti sukuk, ekuiti Islam, produk patuh syariah, fintech, kemampanan, inovasi dan kerangka kawal selia, dengan tumpuan kepada amalan yang inklusif, mampan dan beretika dalam pasaran modal Islam. - DagangNews.com








