KUALA LUMPUR 23 April – Pos Malaysia Berhad mencatatkan kerugian bersih yang naik kira-kira 3.1% kepada sebanyak RM207.9 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).
Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, jumlah tersebut bertambah daripada kerugian bersih sebanyak RM201.6 juga yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya (FY24).
Keputusan negatif ini katanya, dipengaruhi oleh faktor penurunan secara berterusan volum surat tradisional berikutan peralihan kepada saluran mel digital, serta persaingan sengit dalam segmen bungkusan.
"FY25 menyaksikan amalan harga pemangsa dan pengembangan logistik dalaman oleh platform e-dagang gergasi, selain turut berdepan dengan isu tekanan kos operasi yang tinggi," jelas Pos Malaysia.
Antaranya tambah kumpulan berkenaan, termasuk cabaran peningkatan kos buruh dan beban besar untuk mengekalkan rangkaian di bawah Kewajipan Perkhidmatan Sejagat (USO) menurut standard antarabangsa.
Hasil kumpulan turut mencatatkan penyusutan sedikit apabila memperoleh pendapatan sebanyak RM1.84 bilion, berbanding kira-kira RM1.85 bilion yang berjaya direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Dari sudut prestasi pula katanya, segmen pos menyumbang hasil RM1,041.48 juta, peningkatan kira-kira 1%, dibantu oleh pertumbuhan sebanyak 9% volum bungkusan melalui kerjasama platform e-dagang.
"Sementara itu, segmen penerbangan dikendalikan Pos Malaysia mencatat hasil mencecah kira-kira RM383.81 juta dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) adalah RM20.29 juta," ujar kumpulan berkenaan.
Hasil segmen logistik pula ujarnya, sebanyak RM216.52 juta, namun prestasinya terjejas akibat kerosakan teknikal secara berpanjangan pada salah satu kapal pengangkut arang batu.
Kumpulan itu ketika ini mempercepatkan Fasa 4 Pelan Transformasi memberi fokus kepada kelestarian kewangan, pengoptimuman kos, dan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) serta pendigitalan sistem.
Dalam pada itu, Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar menegaskan komitmen kumpulan untuk terus berbincang dengan pengawal selia mengenai isu USO dan pindaan Akta Perkhidmatan Pos.
"Ini bagi memastikan persaingan lebih adil dalam industri, dan kami di sebalik cabaran kewangan, terus memacu agenda hijau dengan armada kenderaan elektrik (EV) terbesar di Malaysia," katanya.
Setakat ini jelas beliau, kumpulan berkenaan mengendalikan 1,252 e-motosikal dan 279 e-van, yang berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 579.63 tCO₂e pada tahun 2025. - DagangNews.com








