KUALA LUMPUR 28 Mei — Jualan hartanah kukuh di Singapura terus menjadi pemacu prestasi Sunway Berhad apabila penganalisis melihat ia mampu mencapai sasaran jualan RM4.2 bilion bagi FY26.
Pada masa sama, kegagalan rancangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad disifatkan berpotensi mendorongnya menjadi lebih agresif dalam aktiviti pengambilalihan dan pembelian bank tanah baharu.
Berdasarkan situasi semasa itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM6.11, manakala CGS International (CGSI) turut tidak mengubah syor 'pegang' dengan TP RM5.95.
"Jualan hartanah Sunway bagi 1QFY26 melonjak kepada RM1.4 bilion berbanding RM700 juta pada suku sebelumnya, dipacu terutamanya oleh projek di Singapura bernilai RM987 juta," kata RHB Research.
Jelasnya, projek Pinery Residence di Tampines, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) S$1.33 bilion (RM4.13 bilion) mencatat kadar pengambilan sehingga 93% selepas dilancarkan pada Mac 2026.
Justeru, kumpulan itu dijangka meningkatkan pelancaran projek termasuk rumah bertanah dan apartmen servis di Iskandar Puteri dan RTS Tower 3 di Johor Bahru dengan gabungan GDV hampir RM1.9 bilion.
CGSI pula berkata, Sunway setakat ini sudah melancarkan projek kediaman bernilai RM2.1 bilion pada FY26 termasuk Sunway Serene dan Sunway Serene yang berjaya mencatatkan kadar pengambilan penuh.

"Kami berpandangan kumpulan berkenaan masih lagi berada pada kedudukan baik untuk mencapai sasaran jualan FY26 meskipun persekitaran ekonomi di negara ini terus mencabar pasaran," kata firma itu.
Tambahnya, bagi 1QFY26, untung teras naik 71% tahun ke tahun (YoY) kepada RM326 juta, berikutan keuntungan sekali sahaja dikecualikan daripada penyenaraian Sunway Healthcare Holdings Berhad.
Pendapatan kumpulan berkenaan jelas CGSI, turut meningkat kira-kira 8% kepada sebanyak RM2.6 bilion disokong oleh faktor prestasi yang lebih baik dalam kebanyakan segmen perniagaan syarikat.
Dalam pada itu, RHB Research berkata, prestasi bahagian pembangunan hartanah dibantu sumbangan oleh Sunway MCL selain penjualan aset pendidikan di Sunway Square kepada Sunway Education Group.
"Di samping itu, keuntungan utama syarikat turut disokong oleh keuntungan penilaian semula yang bernilai RM9.1 bilion susulan penyenaraian Sunway Healthcare," ujar firma penyelidikan tersebut.
Bagaimanapun jelasnya, segmen pelaburan hartanah dan hospitaliti sedikit terjejas akibat faktor bermusim serta kelembapan aktiviti pelancongan susulan konflik berterusan di rantau Timur Tengah.
Sementara itu, CGSI berkata, Sunway juga tidak menolak peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) baharu setelah percubaan untuk pengambilalihan IJM Corporation Berhad gagal pada April 2026.
Pihak pengurusan kumpulan berkenaan kata firma penyelidikan tersebut, percaya cabaran ekonomi semasa mungkin turut membuka peluang pertumbuhan baharu kepada kumpulan secara lebih luas lagi.
"Kami mendapati Sunway Healthcare turut mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan apabila hasil naik 24% kepada RM587 juta manakala kemasukan pesakit dalam meningkat kira-kira 15% YoY," katanya.
Sehubungan itu, segmen penjagaan kesihatan itu dijangka berkembang dipacu peningkatan pesakit antarabangsa termasuk dari Indonesia dan Kemboja selain perluasan kapasiti hospital. - DagangNews.com








