KUALA LUMPUR 30 Mei — Sunway Construction Group Berhad menerima dua kontrak bernilai RM1.16 bilion bagi projek pembangunan pusat data daripada syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Kumpulan tersebut berkata, ia akan melaksanakan perkhidmatan kontraktor am untuk projek-projek berkenaan yang dijadualkan bermula serta-merta dan dijangka siap pada Februari 2027.
Setakat tahun ini, ia memperoleh tempahan berjumlah RM3.5 bilion, mewakili lebih separuh julat sasaran pada 2025 antara RM4.5 bilion hingga RM6 bilion dengan pesanan tertunggak meningkat kepada RM7.9 bilion.
“Projek-projek yang dimenangi ini mengembangkan lagi buku tempahan kumpulan untuk tahun ini dan mengukuhkan hasil dalam tempoh dua tahun akan datang," kata Sunway Construction dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu, kontrak baharu tersebut telah diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB) namun identiti firma daripada AS yang memberi kontrak berkenaan tidak didedahkan.
Pengarah Urusan Sunway Construction, Liew Kok Wing berkata, kumpulan itu yakin momentum positif akan berterusan dalam tahun kewangan semasa dengan disokong oleh faktor kemajuan projek yang dipercepatkan.
"Ini termasuk tender pembinaan pusat data dan buku tempahan kerja-kerja tertunggak semakin mantap, selain beberapa lagi projek yang baru dicagarkan,” kata beliau dalam satu kenyataan berasingan. - DagangNews.com








