KUALA LUMPUR 20 Ogos - Sunway Construction Group Bhd (SCGB) terus menarik perhatian pelabur selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan syarikat dan anak-anak syarikatnya tidak terlibat dalam sebarang siasatan, termasuk di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009, kata RHB Research.
Siasatan berkenaan hanya melibatkan salah laku peribadi seorang pekerja, sekali gus disifatkan sebagai kes terpencil tanpa memberi kesan kepada operasi mahupun reputasi syarikat.
Firma itu dalam nota penyelidikannya berkata, kenyataan itu dilihat bakal mengembalikan keyakinan pasaran terhadap SCGB yang terkenal dengan standard tadbir urus tinggi, terutama selepas memperoleh pensijilan ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS) pada Mei lalu.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen syarikat terhadap integriti, ketelusan serta kawalan dalaman yang kukuh,” kata firma itu.
Seiring perkembangan tersebut, RHB Research mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran baharu RM6.80, naik daripada RM6.55 sebelum ini.
"Ia mencerminkan potensi kenaikan 18% dengan jangkaan hasil dividen sekitar 3% bagi tahun kewangan 2026 (FY26F)," kata firma itu.
Penganalisis menjangkakan SCGB akan terus memperkukuh proses kawalan dalaman serta meningkatkan keyakinan pelabur, justeru menyokong prestasi saham syarikat dalam tempoh terdekat.
SCGB kini memiliki tender aktif bernilai RM15.9 bilion setakat suku pertama 2025 (1Q25), dengan dianggarkan 70% hingga 80% daripadanya terdiri daripada projek pusat data (DC jobs).
Antara projek berpotensi besar yang bakal menyumbang kepada pertumbuhan SCGB ialah pembangunan Seremban Sentral dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kira-kira RM2 bilion, selain beberapa projek pusat data di Lembah Klang yang keputusannya dijangka diumumkan dalam separuh kedua 2025 (2H25).
Syarikat juga dijangka berpeluang menambah kerja-kerja peluasan bagi projek JHB1X0 DC di Sedenak, yang mempunyai kapasiti terancang sehingga 200-300MW. Setakat ini, jumlah kerja bernilai RM3.9 bilion yang telah dianugerahkan bagi projek tersebut meliputi kapasiti dianggarkan 100-150MW.
Penganalisis percaya prospek pertumbuhan SCGB kekal kukuh, disokong oleh penglibatan aktif dalam sektor pusat data yang kian rancak di Malaysia serta rekod prestasi syarikat dalam membida projek bernilai tinggi. - DagangNews.com








