Sunway Construction berpotensi catat untung sehingga RM65 juta pada 1QFY25 dipacu pembinaan pusat data - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Construction berpotensi catat untung sehingga RM65 juta pada 1QFY25 dipacu pembinaan pusat data - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mei — Sunway Construction Group Berhad berpotensi mencatatkan keuntungan teras antara RM45 juta sehingga RM65 juta pada suku pertama 2025 dengan pertumbuhan sebanyak 65 peratus sehingga 138 peratus tahun ke tahun, kata RHB Research. 


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu banyak disokong oleh kemajuan daripada pelbagai kontrak yang berkaitan kerja-kerja pembinaan pusat data baharu antaranya projek pertama melibatkan JHB1X0 dengan nilai RM1.7 bilion.


Tambahnya, kontrak berkenaan untuk Yellowwood Properties di Sedenak Tech Park di Johor sudah mencecah kemajuan sebanyak 73 peratus pada 4QFY24 berbanding hanya 36.5 peratus direkodkan pada 3QFY24 yang menunjukkan situasi baik kepada syarikat.


"Ia ada banyak lagi projek selepas bahagian hartanah Sunway, Sunway Property membentuk usaha sama dengan Majestic Gen bagi pembangunan bercampur di Johor Bahru yang nilai pembangunan kasar (GDV) dianggar RM4 bilion," katanya dalam satu nota kajian. 


Selain itu kata RHB Research, syarikat tersebut akan terlibat membangunkan projek Pembangunan Berorientasikan Pengangkutan (TOD) yang moden dikenali sebagai Seremban Sentral di Negeri Sembilan dengan anggaran GDV mencecah sebanyak RM2 bilion.


Secara konservatif, firma penyelidikan itu mengandaikan bahawa kos pembinaan ialah sebanyak 40 peratus daripada GDV dengan potensi nilai pembangunan kerja-kerja untuk kedua-dua projek hartanah tersebut boleh mencapai jumlah RM2.5 bilion. 


Pada masa yang sama, ia tidak menolak kemungkinan Sunway Construction mampu menjadi pengendali hadapan bagi projek-projek tersebut memandangkan penglibatan aktifnya untuk projek TOD Sistem Transit Rapid (RTS) di Bukit Chagar, Johor Bahru.


RHB Research terus mengekalkan saranan "beli" ke atas syarikat pembinaan tersebut dengan harga sasaran sesaham ialah RM5.63 iaitu kenaikan 12 peratus dengan unjuran risiko utama adalah amat rendah berbanding jangkaan untuk kontrak berikutnya. - DagangNews.com