KUALA LUMPUR 21 Nov - Sunway Construction Group Berhad berdepan isu kelembapan ketara dalam kemenangan kontrak baharu pada suku ketiga 2025 apabila hanya RM121 juta yang berjaya diperoleh.
Menurut penganalisis, ia jauh lebih rendah berbanding tempoh suku sebelumnya, dan situasi ini turut menyebabkan buku tempahan susut kepada RM5.44 bilion daripada RM6.72 bilion dicatatkan pada 2Q25.
Maybank Investment Bank mengambil pendirian berhati-hati, dengan menurunkan saranan kepada 'pegang' daripada 'beli' sebelum ini, sambil memotong harga sasaran (TP) sebanyak 16% kepada RM5.63 sesaham.
"Walaupun prestasi kewangan pada 3Q25 sejajar jangkaan, dividen Sunway Construction sekali lagi mengatasi jangkaan dengan interim 6.3 sen dan dividen khas 23 sen," kata firma itu dalam notanya.
Perkembangan berkenaan disebabkan suku tersebut mencatat keuntungan bersih RM83.8 juta, naik 80% tahun ke tahun (YoY), manakala 9M25 keuntungan bersih melonjak 107% YoY kepada RM243.4 juta.
Bagaimanapun jelas Maybank IB, kelembapan kemenangan tender baharu pada 3Q25 menjadi isu utama dengan 9M25 hanya mencapai 56% daripada sasaran firma penyelidikan berkenaan sebanyak RM7 bilion.
Justeru, ia memotong anggaran pendapatan dari FY25 hingga FY27 antara kira-kira 3% hingga 22%, walaupun tender untuk pelbagai projek pusat data (DC) pula terus meningkat kepada RM18.2 bilion.
"Kami menegaskan bahawa prospek jangka pendek Sunway Construction terjejas oleh momentum kontrak yang perlahan, walaupun ada potensi pemulihan melalui banyak projek DC fasa baharu," tambahnya.
Sebaliknya, RHB Research kekal optimis, dengan mengekalkan penarafan 'beli' dan menaikkan TP sesaham kepada RM7.32 berbanding RM7.26, selepas keputusan 9M25 yang melepasi jangkaannya sendiri.
Keuntungan bersih kumpulan itu pada 9M25 meningkat 176% YoY, mencapai 87% daripada jangkaan firma penyelidikan berkenaan dengan pemangkin utama ialah kemajuan pesat projek DC di seluruh negara.
Katanya, buku tempahan terkini adalah RM5.4 bilion dengan RM3.9 bilion kerja baharu setakat ini daripada sasarannya iaitu RM6 bilion, dan kumpulan itu mempunyai tender bernilai RM18.2 bilion.
"Kami percaya prospek DC dengan margin tinggi dan pulangan pantas akan terus menyokong penilaian lebih tinggi untuk Sunway Construction berbanding kitaran pembinaan sebelumnya," kata RHB Research.
Penilaian firma berkenaan masih kekal positif dengan terus memberi fokus terhadap kejayaan projek DC serta potensi tender besar yang mampu diraih kumpulan itu. - DagangNews.com








