KUALA LUMPUR 10 Mac — Sunway Group dan CelcomDigi Berhad bekerjasama untuk menawarkan sambungan berkelajuan 5G dalam bangunan di beberapa kawasan sasaran dalam pusat beli-belah Sunway Pyramid di bawah inisiatif Proof-of-Concept (PoC) .
Kedua-dua pihak mempromosikan potensi teknologi 5G-AI bagi mengoptimumkan pengurusan kompleks perniagaan dan menyediakan ekosistem runcit yang lebih mampan dengan alatan serta perkhidmatan digital termaju yang akan meningkatkan interaksi dengan pelanggan.
Sunway berkata, sebagai sebahagian daripada pemacu pendigitalan yang lebih luas, inisiatif itu meletakkan Sunway Pyramid sebagai operasi pusat beli-belah 5G yang pertama lebih pintar dan meningkatkan kecekapan kegiatan runcit keseluruhan.
Antara penggunaan kreatif yang boleh dinilai, ialah kamera litar tertutup (CCTV) pintar berkuasa kecerdasan buatan (AI) dengan membolehkan proses analitik pengawasan masa nyata untuk kawalan orang ramai, penambahbaikan keselamatan dan kecekapan operasi.
"Kerjasama ini turut bersama-sama dengan navigasi dalaman berasaskan realiti tambahan (AR) dan paparan maklumat kedai yang menyediakan direktori digital secara interaktif untuk navigasi lancar dan promosi dalam kedai," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Maklumat Kumpulan Sunway, Kevin Khoo berkata, kerjasama tersebut boleh memacu kecemerlangan operasi dan meningkatkan penglibatan pelanggan serta operasi lain yang lebih luas di seluruh kumpulan berkenaan.
"Melalui kerjasama dengan CelcomDigi, kami berharap dapat memanfaatkan penyelesaian pintar, dikuasakan oleh 5G, untuk mengurus pusat beli-belah dengan lebih cekap sambil menawarkan keupayaan digital baharu kepada peruncit kami," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Afizulazha Abdullah berkata, perkongsian tersebut mampu 'membuka pintu' untuk pengalaman runcit generasi akan datang.
"Sambil kami berusaha ke arah membolehkan Sunway Pyramid dengan penyelesaian AI berkuasa 5G, kami meletakkan asas untuk inovasi masa depan yang akan meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan dan pengalaman runcit keseluruhan," katanya. - DagangNews.com








