KUALA LUMPUR 27 Nov – Sunway Bhd mencatat prestasi bercampur bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, dengan keuntungan teras 3Q25 dan 9M25 di bawah jangkaan namun, jualan hartanah berada pada paras yang selaras dengan sasaran tahunan, kata penganalisis.
Syarikat itu merekodkan jualan hartanah terkunci sebanyak RM3.1 bilion bagi 9M25, mewakili 86% daripada sasaran FY25 sebanyak RM3.6 bilion, menunjukkan segmen hartanah masih berada di landasan yang betul.
CGSI International menurunkan unjuran keuntungan FY25–FY27E sebanyak 3–10% setelah mengambil kira penangguhan pembayaran projek dan penurunan unjuran pendapatan Sunway Construction Group namun menaikkan sasaran harga berasaskan SOP kepada RM5.61 berikutan penyertaan projek baharu dalam pengiraan nilai bersih aset bersih hartanah.
Walaupun sasaran harga dinaikkan, potensi kenaikan saham dianggap terhad, justeru CGSI mengekalkan saranan HOLD untuk Sunway Bhd.
“Tanpa perniagaan yang mencukupi selain pembangunan hartanah selepas penyenaraian SHG pada 1Q26, diskaun syarikat induk mungkin meningkat.
“Risiko utama termasuk ekonomi yang perlahan menjejaskan kebanyakan bahagian serta peningkatan kos bahan mentah, manakala pemangkin kenaikan semula mungkin datang daripada penilaian lebih tinggi untuk IPO Sunway Healthcare Group (SHG) dan jualan hartanah yang lebih kukuh,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Sunway susut 10% pada Q3 akibat kos operasi, cukai lebih tinggi
Selain itu, Maybank Investment Bank turut mengekalkan saranan 'Hold' untuk saham Sunway Bhd dengan sasaran harga RM5.90.
Firma tersebut berkata, penyenaraian SHG yang dijangka berlaku pada suku pertama 2026 merupakan pemangkin terakhir yang signifikan bagi saham syarikat ini.
“Selepas penyenaraian SHG, tiada pemangkin besar lain dijangka akan menyokong pertumbuhan harga saham Sunway Bhd.
“Selain itu, risiko utama yang dikenal pasti termasuk kelembapan ekonomi yang memberi kesan kepada kebanyakan bahagian perniagaan Sunway dan kenaikan kos bahan mentah yang boleh menekan margin keuntungan syarikat,” katanya.
Namun, RHB Research berbeza pandangan apabila mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran MYR6.08, menawarkan potensi kenaikan sekitar 10% berbanding harga semasa MYR5.55.
Menurut RHB, keputusan kewangan Sunway bagi suku ketiga 2025 (3Q25) sejajar dengan jangkaan, dengan jualan hartanah 9 bulan pertama tahun ini (9M25) berjumlah MYR3.1 bilion, hampir mencapai sasaran pengurusan untuk keseluruhan tahun sebanyak MYR3.6 bilion.
“Peningkatan jualan didorong terutamanya oleh pelancaran Otto Place, projek kondominium eksekutif di Tengah Plantation Close, Singapura, yang mencatat kadar ambil 94% sejak pelancaran pada Julai.
“Segmen perniagaan kesihatan syarikat juga menunjukkan prestasi positif apabila Sunway Medical Centre Damansara mencapai EBITDA pada Ogos 2025, kurang daripada setahun operasi.
“Sunway juga telah menyiapkan pengambilalihan MCL Land dan menjangka siapnya tiga projek di Singapura akan meningkatkan keuntungan pada awal 2026,” katanya.- DagangNews.com








