Sunway bangunkan tanah RAC menjadi Seremban Sentral bernilai RM2 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway bangunkan tanah RAC menjadi Seremban Sentral bernilai RM2 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Mei — Kumpulan Sunway bakal memajukan tanah seluas 8.4 hektar milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di Seremban, Negeri Sembilan untuk projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion.


Projek dikenali sebagai Seremban Sentral itu dimajukan berhampiran Stesen Keretapi Seremban sedia ada serta akan diintegrasikan bersama stesen baharu dibina di bawah projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT2).


Ia dijangka siap menjelang Disember 2028 dengan mengandungi pembangunan kediaman bagi pelbagai segmen, pusat perniagaan, perubatan dan komersial, institusi pengajian, ruang hijau dan rekreasi serta kemudahan awam dan sosial.


"Selain itu, Seremban Sentral turut bakal menampilkan rangkaian yang mesra pejalan kaki dan pembangunan sistem pengangkutan awam secara bersepadu," kata Sunway dalam satu kenyataan bersama dengan RAC.
 

Kedua-dua pihak memeterai perjanjian TOD itu disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dengan Sunway diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sunway Property, Chong Sau Min manakala RAC oleh CEO, Datuk Azhar Ahmad.


Fasa pertama pembangunan katanya, akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan bermula dengan komponen Seremban Yard dan sebuah pusat perubatan, manakala keseluruhan projek TOD itu pula dijadualkan mengambil masa selama 14 tahun.

 

seremban sentral


Sementara itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, Sunway telah dilantik sebagai pemaju utama projek selepas proses pemilihan dilakukan kementeriannya melalui kaedah Permohonan untuk Cadangan (RFP) secara kompetitif.


“Sebagai ibu negeri pesat membangun, Seremban memerlukan pusat bandar raya yang moden, mampan dan tersusun. Seremban Sentral bakal menjadi pemangkin pembangunan itu dengan menyatukan komponen dalam satu ekosistem terangkum,” katanya.


Beliau menambah, usaha pembangunan itu bukan sahaja mengekalkan nilai sejarah, tetapi memberi imej baharu kepada lokasi berkenaan yang pasti bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan dan pusat ekonomi kreatif di Seremban.


Ia juga, sudah semeastinya memberi kadar impak positif kepada masyarakat setempat selain berpotensi meningkatkan nilai hartanah serta merancakkan aktiviti ekonomi di samping pelaburan dan perniagaan ke kawasan sekitar.


Situasi ini kata Anthony, akan mewujudkan antara 1,000 hingga 1,500 peluang pekerjaan baharu dalam sektor peruncitan, logistik, hartanah dan pelancongan yang sekali gus membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran tempatan.


Dengan reka bentuk mesra pejalan kaki dan berintegrasi dengan sistem rel, projek pembangunan ini dijangka meningkatkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 30 peratus menjelang 2030 dan meningkatkan kelestarian alam. - DagangNews.com