KUALA LUMPUR 6 Feb – Sunview Group Berhad perlu mencari kontrak atau projek tambahan dengan segera bagi menyokong aliran pendapatan yang lebih konsisten memandangkana risiko kewangan syarikat, terutamanya nisbah hutang bersih kepada ekuiti yang tinggi terus menyekat potensi kenaikan saham dalam jangka pendek hingga sederhana, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Neutral terhadap saham Sunview dengan sasaran harga yang tidak berubah pada RM0.32.
“Kami berpendapat prospek subsektor tenaga boleh diperbaharui sebagai positif dan menjangka syarikat itu akan mendapat manfaat daripada pelbagai skim serta dasar kerajaan.
“Namun, tanpa projek baharu yang dapat menambah aliran pendapatan, Sunview berisiko menghadapi ketidakstabilan kewangan dan ini mengekang potensi kenaikan harga sahamnya,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Sunview telah mencadangkan diversifikasi perniagaannya untuk memasukkan penjanaan tenaga solar, melalui cadangan pengambilalihan dua loji solar berskala besar, masing-masing di Pahang dan Pulau Pinang.
Anak syarikatnya, SAM 2 Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan PKNP Reneuco Suria Sdn Bhd bagi loji solar 50MW di Pekan bernilai RM70 juta secara tunai.
Sementara itu, Sunview Asset Management Sdn Bhd pula akan mengambil alih kesemua 10 juta saham JAKS Solar Nibong Tebal Sdn Bhd daripada JAKS Resources Berhad pada harga RM15.0 juta, termasuk penyelesaian pinjaman pemegang saham sehingga RM40.0 juta.
MBSB Research berkata pengambilalihan kedua-dua aset ini dijangka menyumbang lebih 25% kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan atau memberi impak melebihi 25% terhadap aset bersih bagi tahun kewangan 2026.
MBSB Research menegaskan bahawa langkah diversifikasi ini juga membawa risiko kewangan yang ketara.
“Sunview dijangka meningkatkan pinjaman atau kaedah pembiayaan lain bagi membiayai pengambilalihan, sedangkan net gearing syarikat telah berada pada tahap tinggi iaitu 125.6% bagi FY25, menunjukkan tahap leverage yang tinggi.
“Risiko kewangan lebih ketara jika berlaku kelewatan atau kegagalan pelaksanaan projek. Walaupun pengambilalihan loji solar ini memberi potensi pendapatan tambahan, kami berpendapat aktiviti utama Sunview masih bergantung kepada projek EPCC solar dan baki tempahan kerja yang belum ditagih berjumlah RM173.8 juta perlu diperbanyakkan untuk menyokong aliran kerja dan kestabilan pendapatan syarikat,” katanya.
Bagi tahun kewangan 2026 dan 2027, MBSB Research mengekalkan unjuran keuntungan sederhana bagi Sunview, dengan EPS FY27F dianggarkan 1.7 sen.
Firma penyelidikan menyatakan bahawa risiko pelaksanaan projek yang sedia ada, kebergantungan kepada projek EPCC solar, serta tekanan kewangan akibat pengambilalihan aset baharu menjadi faktor utama mengapa ia masih mengekalkan saranan Neutral. - DagangNews.com








