KUALA LUMPUR 13 Mac – Sunsuria Berhad berhasrat meningkatkan pegangan sahamnya dalam KL City Gateway Sdn Bhd (KLCG) kepada 61%, sekali gus menjadikannya sebagai anak syarikat kumpulan itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tersebut menyatakan ia akan memperoleh tambahan 41% ekuiti daripada beberapa vendor dengan pertimbangan tunai berjumlah RM21,464,705.
Ketika ini kumpulan hartanah itu hanya memiliki 20% kepentingan dalam KLCG yang berstatus sebagai syarikat sekutu, dan merupakan pemaju bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru di ibu negara.
"Selain pengambilalihan tersebut, Sunsuria turut mencadangkan pemberian bantuan kewangan tambahan sehingga RM387 juta kepada KLCG, termasuk pendahuluan pemegang saham tambahan," jelasnya lagi.
Di samping itu katanya, kumpulan berkenaan menyediakan jaminan korporat untuk membiayai keperluan modal kerja serta pelbagai kemudahan perbankan bagi projek pembangunan semula yang dirancang.
KLCG dilantik sebagai pemaju Kampung Sungai Baru yang berkeluasan kira-kira 4 hektar, melibatkan projek berintegrasi secara campuran dengan terdiri daripada komponen kediaman dan komersial.

Projek tersebut dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.75 bilion, dan
Lembaga Pengarah Sunsuria menyifatkan usaha pengambilalihan berkenaan sebagai langkah strategik.
"Ini membolehkan kumpulan memegang kawalan majoriti dan pengawasan terhadap projek berskala besar tersebut, kerana kedudukan hartanah yang terletak di kawasan utama pusat bandar raya," tambahnya.
Lokasi berkenaan juga jelasnya, berhampiran dengan Menara Berkembar PETRONAS atau lebih dikenali sebagai KLCC, yang dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan jangka panjang kumpulan.
Bagaimanapun cadangan tersebut tertakluk kepada kelulusan pemegang saham yang akan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Menara Sunsuria, Setia Alam, Selangor pada 31 Mac 2026.
Kumpulan berkenaan menambah, sekiranya berjalan lancar, pengambilalihan ke atas KLCG dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada tempoh separuh pertama tahun ini. - DagangNews.com








