Sun Life lantik Noor Azam Mohd Yusof sebagai CEO Takaful baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sun Life lantik Noor Azam Mohd Yusof sebagai CEO Takaful baharu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb — Sun Life Malaysia melantik Noor Azam Mohd Yusof sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sun Life Malaysia Takaful Berhad yang baharu berkuat kuasa pada 3 Februari lalu
.

Menurut kenyataan firma insurans tersebut, beliau menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Jeffry Azmi Mohd Shah atas sebab persaraan setelah memegang jawatan penting berkenaan pada 13 Oktober 2022.
 

Presiden dan Ketua Negara, Raymond Lew berkata, kepimpinan Noor Azam yang terbukti dengan kepakaran takaful mendalam cukup diperlukan bagi mengembangkan jangkauan dan impak perniagaan takaful syarikat.
 

"Dengan pemikiran 'bermain untuk menang', kami yakin beliau mampu membawakan kami menjadi peneraju takaful keluarga, memberikan pertumbuhan, inovasi dan impak luar biasa untuk pelanggan kami," katanya.
 

Berpengalaman lebih daripada 25 tahun dalam kedua-dua sektor insurans konvensional dan Takaful, Nor Azam diyakini dapat menambah baik perkhidmatan perlindungan yang ditawarkan Sun Life Malaysia.
 

Kepakaran beliau ujar Lew termasuk aspek jualan dan pemasaran, bankasurans dan banktakaful, pengurusan saluran agensi, pembangunan perniagaan serta proses transformasi perniagaan yang strategik.

 

Syarikat tersebut mengandungi Sun Life Malaysia Assurance Berhad dan Sun Life Malaysia Takaful Berhad hasil usaha sama antara Sun Life Assurance Company of Canada dengan Khazanah Nasional Berhad.

 

Dalam peranan baharunya sebagai CEO, Noor Azam akan bertanggungjawab untuk menyelia segala aspek perniagaan, termasuk isu pematuhan dan tadbir urus yang berasaskan kepada prinsip Syariah.
 

Malah beliau akan mengetuai pelaksanaan strategi bisnes, yang direka untuk pertumbuhan berterusan dan meningkatkan kedudukan sebagai pemain banktakaful terkemuka dalam pasaran Malaysia.



Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang pemasaran dari Northern Illinois University dan ijazah Sarjana dalam pentadbiran perniagaan dari Universiti Teknologi Mara. - DagangNews.com