KUALA LUMPUR 27 April – SumiSaujana Group Berhad meneroka kerjasama baharu dengan syarikat teknologi antarabangsa dari Denmark, Topsoe A/S bagi menilai pembangunan projek berasaskan teknologi Asid Sulfurik Gas Basah (WSA) di Malaysia dan Indonesia.
Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara anak syarikat milik penuh SumiSaujana, iaitu SumiSaujana TCM Chemicals Sdn. Bhd., dengan Topsoe bagi mengkaji potensi projek berkaitan penukaran aliran proses yang mengandungi sulfur kepada asid sulfurik.
Teknologi WSA ini membolehkan sisa atau aliran gas yang mengandungi sulfur daripada industri minyak dan gas diproses menjadi asid sulfurik, iaitu bahan kimia yang mempunyai nilai komersial dan digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.a ke
Timbalan Pengerusi Eksekutif SumiSaujana, Toh Chee Seng berkata kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada peluang di Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam sektor penapisan minyak, pemprosesan gas serta kemudahan berkaitan industri huluan dan hiliran minyak dan gas.
“Di bawah perjanjian ini, SumiSaujana akan menerajui kajian kebolehlaksanaan dan pembangunan projek, termasuk penilaian teknikal dan komersial bagi mengenal pasti projek yang berpotensi untuk dilaksanakan.
“Jika projek diteruskan, SumiSaujana juga akan bertanggungjawab terhadap proses pembangunan menyeluruh termasuk pembiayaan, kejuruteraan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan kemudahan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Topsoe akan menyokong dengan kepakaran teknikal serta teknologi WSA miliknya, selain berperanan sebagai pemberi lesen teknologi sekiranya projek memasuki fasa pelaksanaan.
Model projek yang dirancang adalah berasaskan konsep Build-Own-Operate (Transfer) atau BOO(T), di mana kemudahan boleh dibina, dimiliki dan dikendalikan oleh SumiSaujana sebelum dipindahkan mengikut perjanjian yang dipersetujui.
Kedua-dua pihak melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk meningkatkan penggunaan sisa industri yang mengandungi sulfur kepada produk bernilai tambah, di samping menyokong agenda kecekapan sumber dan kelestarian alam sekitar.
Bagaimanapun, kedua-dua syarikat menegaskan bahawa MoU ini masih di peringkat awal, tidak mengikat dan sebarang pembangunan projek hanya akan diteruskan selepas kajian lanjut serta persetujuan perjanjian muktamad dicapai. - DagangNews.com








