KUALA LUMPUR 29 Ogos - Lintas hormat pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 kali ini akan tampil berbeza apabila pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM ‘Toruk Makto’ TUDM mengetuai 29 buah pesawat pelbagai agensi.
Kemunculan kali kedua pesawat Sukhoi tersebut dengan corak istimewa Jalur Gemilang pada acara bertaraf nasional selepas LIMA bakal menggamit perhatian orang ramai.
Tambah membanggakan, pesawat diterbangkan Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris atau nama panggilan Gyro bersama Kolonel Norazan Othman (Sering).
Ini menjadikan sambutan Hari Kebangsaan 2025 bakal mencatat sejarah tersendiri apabila PTU menerbangkan pesawat pejuang untuk mengetuai lintas hormat.

Beliau yang merupakan juruterbang pesawat pejuang berpengalaman mengoperasikan beberapa pesawat selain Sukhoi seperti A4-Skyhawk dan MiG-29N.
Penyertaan Muhamad Norazlan mencerminkan semangat kepimpinan beliau untuk berada di barisan hadapan bersama perwiranya, sekali gus menjadi lambang kekuatan sebuah pasukan.
Rekaan corak baharu pada badan pesawat itu yang pertama kali ditampilkan pada LIMA 2025 lalu diilhamkan daripada makhluk legenda dalam filem Avatar, dikenali sebagai Toruk atau 'The Last Shadow'.
Ia menggambarkan juruterbang pesawat tempur Su-30MKM dengan semangat yang sama kerana menerbangkan pesawat teknologi generasi 4.5 dengan keupayaan supermanuver.


Norazlan bersama juruterbang dan anak kapal TUDM sejak minggu lalu telah memulakan persiapan dan latihan penerbangan bagi menjayakan segmen persembahan udara sempena sambutan tahun ini di Dataran Putrajaya.
Aset-aset udara yang turut terlibat adalah daripada Tentera Darat Malaysia, TLDM, polis Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pada tahun ini, sebanyak 30 aset udara bakal menggegarkan ruang udara Putrajaya yang terdiri daripada pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter daripada semua agensi.

Selain Sukhoi dan pesawat Hawk, turut terlibat ialah Airbus A400M, Hercules C-30 dan CN235.
Aset lain seperti helikopter EC725AP, AW189, AW139, AW109, Super Lynx, AS365 NP dan MD530G. - DagangNews.com








